Dalam kejadian pukul 7.30 pagi itu, kedua-dua suspek yang ditahan berusia 27 dan 31 tahun.

Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Maritim Malaysia (APMM),  Laksamana Madya Maritim Datuk Mohd. Zubil Mat Som berkata, kejayaan itu hasil maklumat dan risikan pihaknya selama sebulan terhadap kegiatan pengedaran dadah itu.

Katanya, semasa operasi dilakukan didapati dua suspek menaiki sebuah bot gentian kaca berwarna biru tanpa nombor pendaftaran meluncur laju dari Jeti nelayan Sungai Belankan, Tanjung Rhu.

"Bot tersebut berjaya ditahan selepas hampir 15 minit pasukan rondaan mengejar mereka.

"Hasil pemeriksaan telah menemui sebuah guni putih yang mengandungi 22 bungkusan plastik dadah jenis syabu dengan anggaran berat 23 kg disembunyikan di dalam sebuah tong ikan berwarna jingga," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat APMM di sini.

Turut hadir Pengarah Maritim Selangor, Kepten Maritim Mohammad Rosli Kassim.

Mohd. Zubil berkata, kedua-dua nelayan itu juga dipercayai berada dibawah pengaruh dadah ketika ditahan serta cuba bertindak agresif ketika ingin ditahan kami.

Tambah beliau, hasil siasatan mendapati operandi mereka adalah membawa dadah itu sehingga ke perairan antarabangsa sebelum dadah itu dipindahkan ke bot lain untuk dibawa ke lokasi yang ditetapkan di negara jiran.

"Kita percaya dadah itu cuba diseludup ke Indonesia berikutan harga pasaran syabu di negara itu lebih mahal sehingga mencecah tiga kali ganda dari pasaran tempatan.

"Siasatan lanjut masih dijalankan sama ada mereka ini didalangi oleh sindiket pengedaran dadah antarabangsa. Kita akan berhubung dengan pihak berkuasa Indonesia untuk menyiasat rangkaian sindiket dadah ini," ujarnya.

Jelas Zubil, rampasan syabu itu adalah yang terbesar untuk tahun ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. - K! ONLINE