Dalam kejadian pukul 12.30 pagi itu, kesemua PATI yang berjaya diselamatkan 
berusia 19 hingga 58 tahun. 

Komander Pasukan Polis Marin Wilayah 1, Asisten Komisioner Rosman Ismail berkata, kejayaan itu hasil rondaan Op Pensura yang dilakukan PPM Pelabuhan Klang yang mengesan sebuah bot dalam keadaan mencurigakan menuju ke laut antarabangsa memasang sebarang lampu pengenalan. 

"Hasil pemeriksaan ke atas bot berkenaan telah menemui 18 warga Indonesia yang terdiri daripada 14 orang lelaki dan empat wanita.

"Siasatan awal mendapati kesemua mereka dalam perjalanan untuk keluar dari negara ini melalui jalan yang tidak sah," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Kata beliau, hasil siasatan lanjut mendapati 10 daripada warga asing berkenaan mempunyai dokumen perjalanan yang sah, namun telah tamat tempoh. 

Rosman menambah, lapan lagi warga asing itu  tidak mempunyai sebarang dokumen perjalanan yang sah. 

"Kita turut menahan tiga lelaki yang juga tekong dan awak-awak bot pom-pom berkenaan.

"Kesemua yang ditahan itu kemudiannya dibawa ke Jeti PPM Wilayah 1, Pelabuhan Klang untuk tindakan lanjut," jelasnya. 

Kes disiasat mengikut Seksyen 26 Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007, Seksyen 6 (1)(c) dan Seksyen 15 (1)(c) 
Akta Imigresen 1959/63. - K! ONLINE