Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, industri penanaman padi perlu berubah dengan menjadikan pengurusan ladang kelapa sawit dan getah secara profesional sebagai rujukan.

Menurutnya, Kedah merupakan Jelapang Padi negara yang menyumbang 40 peratus bekalan padi negara dan sumbangan itu perlu dikekalkan bagi menyelamatkan bekalan makanan kepada rakyat yang semakin bertambah.

“Malangnya penanam padi adalah antara rakyat yang termiskin di negara kita yang mana tanpa subsidi, mereka tetap akan kekal dalam kemiskinan,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Konvensyen Padi Kebangsaan 2019 di sini semalam.

Hadir sama Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Salahuddin Ayub.

Kata beliau, penggabu­ngan itu boleh dilakukan jika pemilik tanah yang berjiran sanggup mencantumkan tanah mereka sehingga menjadi besar, mungkin 1,000 atau 2,000 hektar dengan diuruskan oleh pengurus terlatih.

Selain itu, Perdana Menteri berkata, pesawah juga boleh mengusahakan tanaman seperti sayur di sebahagian tanah tersebut bagi menjana pulangan sepanjang tahun.

“Saya yakin dengan cara tersebut pendapatan pesawah termasuk hasil padi dan tanaman sampi­ngan lain akan meningkat,” ujarnya.