Ketua Pengarah Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM), Datuk Dr. Abd. Latif Mohmod berkata, produk Goutree dalam bentuk kapsul dan cecair penyembur terbabit merupakan hasil penyelidikan pihaknya sejak lapan tahun lalu.

Beliau berkata, minyak daripada pati daun pokok cucur atap telah digunakan secara tradisional oleh masyarakat Melayu bagi meredakan senggugut, kembung perut, sembelit, sakit belakang dan mengurangkan kadar gula dalam darah.

"Kajian saintifik yang dilakukan FRIM mendapati pati daun pokok berkenaan mengandungi enzim yang mampu menghalang pengumpulan asid urik pada sendi tulang yang menjadi punca kepada penyakit gout.

"Pengkomersialan produk Goutree berasaskan pati daun cucur atap ini meliputi kapsul untuk makanan tambahan dan cecair penyembur sebagai agen meredakan kesakitan radang sendi akibat gout," katanya pada pra-pelancaran produk Goutree di Stesen Penyelidikan FRIM Setiu, Bari Besar dekat sini hari ini.

Turut hadir Pengarah Bahagian Bioteknologi Perhutanan FRIM, Datuk Dr. Marzalina Mansor dan Ketua Program Sumber Biologi FRIM, Dr. Fadzureena Jamaludin.  - K! ONLINE