Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Jabatan Pendidikan Tinggi (JPT), Datin Paduka Dr. Siti Hamisah Tapsir berkata, ia berikutan sambutan yang menggalakan diterima pihaknya pada penganjuran kali pertama yang berakhir semalam.

Beliau berkata, selain menjadi acara tahunan ia juga sebahagian daripada pembelajaran dan pengajaran bagi pelajar FiTA UiTM itu sendiri.

"Sokongan daripada industri seni tanah air amat menggalakkan dan saya berterima kasih kepada Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) kerana sudi bekerjasama dengan pihak kita.

“Anugerah ini di luar jangkaan saya kerana masing-masing kelihatan profesional. Segelintir ada terdiri dalam kalangan pelajar sekolah namun hasil karya mereka amat kreatif sekali,"katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar  selepas FiTA WAVE Short Film Awards 2019 di Dewan Agung Tuanku Canselor, UiTM, di sini, malam tadi.

Turut hadir, Naib Canselor UiTM, Prof Emeritus Ir. Dr. Mohd Azraai Kassim dan Ketua Pegawai Eksekutif Finas, Ahmad Idham Ahmad Nadzri.

Pada majlis berkenaan, Sekolah Menengah Kebangsaan Khir Johari, Sungai Petani Kedah telah dinobatkan johan bagi kategori pelajar sekolah menerusi drama bertajuk 'Kertas Renyuk'.

Bagi kategori Institut Pengajian Tinggi (IPT) dan kolej, johan disandang Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara) melalui drama 'Lukisan Jalanan'.

Sementara itu, bagi kategori terbuka johan dimenangi drama 'Sisa Binasa', naib johan ' Nor dari Tingkat 2 dan tempat ketiga disandang drama '3-x+2y=z'.

Johan membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak RM10,000, tempat kedua (RM5,000) dan ketiga (RM2,000) untuk setiap kategori penyertaan.

Selain itu, pada majlis sama, drama 'Yol' hasil nukilan pelajar SMK Seksyen 18, di sini dipilih sebagai pemenang bagi kategori Anugerah Popular Penonton sekali gus melayakkan mereka membawa wang tunai RM5,000 bersama trofi dan sijil penghargaan.

FiTA WAVE Short Film Awards 2019 adalah pertandingan filem pendek anjuran FiTA, UiTM, JPT (Kementerian Pendidikan), Yayasan Hasanah dan Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA).

Berpandukan tema ‘Imaging and Inspiring Malaysians through Life-Long Learning’, peserta dikehendaki menghantar filem pendek yang berdurasi tidak melebihi 10 minit. - K! ONLINE