Farid, 36, berkata, dia berbuat demikian bagi membuka mata semua pihak agar tidak sewenang-wenangnya melanggar hak cipta, khususnya karya-karya filem tempatan.

“Saya kecewa apabila diberitahu bahawa filem Pinjamkan Hatiku dirakam secara langsung dan disebarkan kepada orang awam dengan percuma.

“Ia merupakan jenayah cetak rompak tetapi versi digital. Sebagai individu yang terlibat dalam produksi tersebut, saya mahu tindakan lanjut dibuat,” katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran Dewan Perniagaan Artis, di Hotel Royale Chulan, Damansara di sini sebentar tadi.

Farid yang memegang watak sebagai Doktor Hasnan dalam filem tersebut bakal membuat laporan bersama pengarahnya, Osman Ali.

Turut dilakonkan oleh Shaheizy Sam dan Ayda Jebat, filem Pinjamkan Hatiku mula ditayangkan pada 30 November lalu. - K! ONLINE