Pengarah & Penerbit Paskal, Adrian Teh berkata, filem yang sarat dengan elemen aksi dan semangat patriotik itu memaparkan tugas mencabar pasukan unit khas dalam organisasi Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) atau lebih dikenali sebagai Pasukan Khas Laut (Paskal).

Menurutnya, Paskal sebuah filem yang bagus untuk ditonton bersama keluarga kerana penonton didedahkan mengenai sejarah dan tugas berbahaya pasukan elit tersebut.

"Saya gembira kerana TLDM banyak membantu melancarkan sesi pengambaran Paskal seperti memberi latihan ketenteraan Paskal kepada para pelakon dan penonton juga berpeluang melihat pelbagai senjata dan aset ketenteraan digunakan dalam filem ini seperti helikopter Super Lynx 300, kapal selam Scorpene KD Tunku Abdul Rahman.

"Justeru, diharap filem ini akan membuka mata banyak tentang kewujudan Paskal sekali gus mampu menerapkan semangat cintakan negara dalam jiwa," katanya dalam satu kenyataan.
 
Adrian memberitahu, filem edaran GSC Movies itu menjalani penggambaran di beberapa lokasi di dalam dan luar negara antaranya di Kuala Lumpur, Lumut, Kota Kinabalu, Labuan, Semporna, Sabah; dan Turki.
 
Tambah beliau, setiap babak di dalam filem tersebut turut diperhebatkan dengan susunan skor muzik yang terbaik bagi mewujudkan kesan emosi kepada para penonton.

"Barisan pelakon juga telah memberi kerjasama yang baik semasa penggambaran kerana ada di antara mereka melakukan aksi lasak sendiri sehingga tercedera dan kami terpaksa menghentikan penggambaran.

“Oleh itu, saya harap orang ramai khususnya golongan belia dapat memberi sokongan penuh dengan menonton filem ini sekali gus dapat menyebarkan semangat patriotik kepada penonton” katanya pada majlis pelancaran Paskal baru-baru ini.
 
Filem tersebut menampilkan gandingan barisan pelakon yang cukup berbakat antaranya Hairul Azreen, Ammar Alfian, Taufiq Hanafi, Gambit Saifullah, Hafizul Kamal, Henley Hii, Theebaan G dan Jasmine Suraya Chin. - K! ONLINE
 
Paskal yang diterbitkan Asia Tropical Films Sdn. Bhd. itu mengisahkan Leftenan Komander Arman Anwar yang diserap semula bagi menyelesaikan satu misi khas selepas kehilangan rakan setugasnya. - K! ONLINE