Sebut apa sahaja filem tentang karakter adiwira popular baik Superman, Batman mahupun Spider-Man, hanya cemuhan yang keluar daripada mulutnya. Namun lain pula dengan Justice League.

Entah kenapa, sebenarnya dia pula yang terlebih dulu mengajak penulis menonton filem lakonan Ben Affleck sebagai Batman dan Henry Cavill untuk karakter Superman itu.

Pelik. Sedangkan ajakan penulis untuk menonton filem adiwira yang muncul sejurus sebelum tayangan Justice League di layar perak iaitu Thor: Ragnarok ditolaknya pula mentah-mentah.

Dalam pawagam, kawan penulis kelihatan sa­ngat fokus.

Penulis pula yang gelisah, terutamanya apabila merasakan Affleck sangat clueless (tidak keruan) melakonkan watak Batman - tidak se­perti aktor Christian Bale sebelum ini yang cukup berwibawa menghidupkan karakter adiwira itu menerusi trilogi filem Batman: The Dark Knight.

Selebihnya, memang banyak perkara yang penulis rasa agak ‘kurang’ dalam Justice League berbanding Thor: Ragnarok khususnya yang mencapai gred sebagai sebuah filem adiwira yang berbaloi untuk ditonton.

Sebaik keluar panggung, kawan penulis yang tadinya diam mula melontarkan ‘peluru’ kata-katanya.

“Aku tengok filem ini (Justice League) dengan kau untuk membuktikan kenapa aku antifilem adiwira!,” ujarnya sambil tersenyum seolah-olah mengejek, seakan tahu bahawa penulis pun ba­nyak yang tidak puas hati dengan filem yang sudah mengumpul kutipan mencecah RM2 bilion hasil tayangan di pawagam seluruh dunia itu.

“Basi!” sepatah ayat lantas meluncur daripada mulutnya.

“Plot tentang pelbagai adiwira bergabung menentang watak antagonis bukan sudah banyak diutarakan? Ini bukan setakat stereotaip lagi tetapi idea basi dan memualkan.

“Nama watak utama antagonis, Steppenwolf sahaja sudah buat aku gelak,” ujarnya sambil katawa terbahak-bahak.

Bukan mahu membela Justice League tetapi sekadar mahu melihat apakah reaksinya, penulis lantas berkata: “Tapi, filem idea basi pun, kutipannya sudah mencecah RM2 bilion.”

Lantas kawan penulis menjawab: “Sebab audiens dungu, leka diulit filem adiwira yang kononnya mahu menyelamatkan dunia.

“Tapi kenapa semua adiwira itu warga Amerika Syarikat sahaja? Jadinya, adiwira penyelamat dunia hanyalah orang Amerika? Fakta stereotaip tersebut sangat memualkan aku!”

Dipendekkan cerita, kata-kata berbisa kawan penulis itu membuatkan penulis berasa teragak-agak pula untuk menonton lambakan filem adiwira yang dijangka bakal muncul di pawagam menjelang tahun 2018 kelak.

Black Panther, The New Mutants, Avengers: Infi­nity Wars, Deadpools 2, Antman and the Wasp, Ve­nom, Aquaman dan X-Men: Dark Phoenix antara judul yang menanti masa menjengah pawagam sepanjang tahun depan itu adakah suatu ketika kelak akan membuatkan audiens muak dengan lambakan filem adiwira?

Muak dan mual mungkin dua perkara yang berbeza tetapi dalam kes Justice League penulis akui sudah mula terbit rasa muak itu.