Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Perlis, Shahrul Azhar Mat Dali berkata, individu terlibat perlu memastikan Jalur Gemilang yang dipasang dan dikibarkan tidak menjejaskan pemandangan pemandu di jalan raya selain menganggu tumpuan mereka.

"Dalam keghairahan menjelang atau pada sambutan Hari Kebangsaan tahun ini, aspek keselamatan perlu sentiasa diberikan keutamaan.

"Kita akan memberikan khidmat nasihat tetapi bagi kes-kes yang bersifat ekstrem akan diambil tindakan undang-undang.

"Namun, setakat ini, keadaan masih terkawal," katanya kepada pemberita sempena Program Kayuhan Merdeka Kadet JPJ Perlis bersama Raja Muda Perlis di Dewan Besar JPJ Perlis di sini hari ini.

Turut berkenan berangkat hadir, Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail. - K! ONLINE