Timbalan Pengarah FAMA Negeri Mohd Zaidi Ahmad berkata, fiesta ini kali kedua diadakan bertujuan menyediakan ruang dan peluang kepada para usahawan dan peniaga dalam sektor florikultur dan nurseri khususnya untuk memasar serta mempromosikan produk mereka kepada pengguna secara langsung.

"Fiesta kali ini menawarkan 600 jenis pokok orkid, pelbagai jenis pokok bunga, tanaman hiasan, anak pokok buah-buahan, herba, pelbagai tanaman makanan, baja dan penggalak tanaman serta benih tanaman. Terdapat 24 lot gerai jualan yang melibatkan 12 usahawan dan syarikat akan menyertai fiesta itu," katanya di sini, hari ini.

Katanya Unit Urusniaga Florikultur FAMA Negeri Sembilan juga menjual pelbagai anak-anak pokok buah-buahan seperti durian musang king, durian IOI, durian montong, kelapa pandan, nangka madu, mangga pelbagai jenis, durian belanda, pelbagai jenis limau, manggis, rambutan dan banyak lagi.

Katanya gerai jualan lain turut merangkumi jualan hasil segar melibatkan buah-buahan seperti durian (Musang King, IOI, D24 dan Udang Merah), rambutan, nangka madu, nanas serta jagung manis dan sayur-sayuran.

"Jualan produk industri asas tani seperti lemang periuk kera, madu kelulut, jus dan minuman nanas, minuman berasaskan roselle, rendang maman, kek lapis Sarawak serta empat karavan tani yang menjual kebab, ayam gunting, kerepok lekor dan air kelapa. Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) akan mengadakan jualan ikan segar sejuk beku di bawah jenama Q Fish pada 22 dan 23 Nov dengan harga yang istimewa.

"Pengisian acara harian lain merangkumi klinik pemeliharaan dan penjagaan pokok orkid yang akan diadakan pada 22 Nov. Kami mempelawa para peminat orkid untuk datang mengikuti sesi klinik ini. Kami juga akan mengadakan pertandingan gubahan bunga-bungaan segar dan kering serta bahan terpakai, klinik cantuman pokok buah-buahan serta kuiz.

"Pada hari terakhir iaitu 26 Nov, kami akan mengadakan sesi jualan lelong pelbagai pokok orkid, pokok bunga dan banyak lagi produk terpilih," katanya. - Bernama