Konsul Jeneralnya, Mongkol Sinsomboon berkata, program pada tahun ini dianjurkan bersama Pusat Pentadbiran Sempadan Wilayah Selatan (SBPAC) dan pentadbiran wilayah Narathiwat, Pattani, Yala, Satun dan Songkhla.

Beliau berkata, sempena dengan penganjuran festival itu juga, kelima-lima gabenor wilayah Selatan akan membuat kunjung hormat ke atas Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob.

“Kunjungan hormat kelima-lima gabenor secara serentak ini adalah satu peristiwa bersejarah dan menunjukkan betapa pentingnya negeri Kelantan di mata kami malah festival ini bakal dirasmikan Menteri Besar bersama Setiausaha Agung SBPAC, Somkeart Ponprayoon.

“Kita mahu mengukuhkan hubungan sedia ada termasuk mengembangkan lagi sektor perdagangan dan pelancongan antara kedua-dua buah negara,” katanya ketika ditemui pada sidang akhbar di sini hari ini.

Beliau berkata, sesi pertemuan turut dilakukan dengan agensi seperti Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN), Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) untuk bertukar pandangan mengenai 
perdagangan sempadan.

Mongkol berkata, terdapat hampir 70 gerai yang menjual dan mempamer pelbagai produk termasuk makanan, automatif dan perabot selain aktiviti kebudayaan disediakan sepanjang enam hari festival.

“Festival itu juga memberi peluang kepada peniaga dan pedagang kedua-dua negara untuk membina rangkaian dan melakukan pemadanan perniagaan.

 "Pihak kami menjangkakan kehadiran pengunjung mampu mencecah lebih 100,000 orang memandangkan festival jatuh pada hari cuti umum dan hujung minggu,” katanya.

Katanya, Festival Thai diadakan di 60 buah bandar seluruh dunia pada setiap tahun supaya masyarakat luar dapat merasai keunikan Thailand yang sebenar sama ada dari sudut makanan, budaya dan sebagainya. - K! ONLINE