Anggota Parlimen Bentong Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata durian khususnya Musang King mempunyai peminat tersendiri, termasuk pelancong asing sehingga mereka sanggup berhabis untuk menikmatinya pada musim luruh.

"Durian bukan lagi setakat raja buah, tapi kedudukannya telah meningkat sehingga menjadi bilateral diplomasi seperti yang berlaku antara Malaysia dan China. Malah pelancong China juga sanggup datang ke Bentong untuk menikmati Musang King.

"Raub yang terkenal sebagai pengeluar Musang King juga terletak bersebelahan daerah ini, memudahkan kami untuk membawa dan mempromosikan raja buah ini," katanya pada sidang media selepas menghadiri Festival Pelancongan Kebudayaan Durian Antarabangsa Malaysia 2017 di sini, hari ini.

Turut hadir Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek.

Liow juga mengimbas kenangan lawatan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak ke China pada Mei lalu, yang beliau secara peribadi meminta supaya 43 buah durian paling enak dibawa bersama sebagai buah tangan menandakan hubungan bilateral selama 43 tahun kedua-dua negara.

Beliau yang juga Menteri Pengangkutan berkata festival dua hari yang bermula hari itu, menyasarkan kehadiran pengunjung seramai 50,000 yang sekali gus dapat membantu menberi limpahan ekonomi kepada penduduk setempat. 

Liow seterusnya menyifatkan kementeriannya boleh membantu meningkatkan keupayaan pasaran raja buah itu ke luar negara, khususnya China yang semakin menunjukkan minat kepada durian, meskipun setakat ini kebenaran untuk mengeksport buah segar masih belum diperoleh. - Bernama