Menurut warga Indonesia yang ditemui Bernama, mereka memilih perkhidmatan feri dari Melaka ke dua lokasi di Kepulauan Sumatera iaitu Bengkalis dan Dumai kerana faktor jarak yang lebih dekat selain kemudahan terminal feri dan ICQ Melaka yang lebih selesa serta tambang lebih murah.

Ab Ghani Muda, 58, seorang penyelia ladang kepala sawit di Temerloh, Pahang, berkata, kos pengangkutan feri pergi balik yang murah iaitu RM195 seorang ke kampung halamannya di Dumai  membuatkan beliau memilih untuk menaiki feri bersama isteri serta dua anaknya.

"Boleh naiki kapal terbang tetapi harga tiketnya antara RM300 hingga RM500 seorang (Lapangan Terbang Antarabangsa Melaka ke Dumai), kosnya mahal kerana itu saya naik feri di Melaka," kata lelaki berketurunan Minang itu, hari ini.

Beliau berkata, sememangnya masa perjalanan lebih singkat iaitu 45 minit jika menggunakan kapal terbang berbanding dua jam dengan feri, namun beliau melihat ia memberi nilai terbaik untuk wang dan menggunakan perkhidmatan itu sejak tinggal lebih 10 tahun di negara ini. - Bernama