Hasil kewujudkan 320 penempatan Felda sejak tahun 1958, banyak kawasan luar bandar kini telah berjaya melalui proses transformasi menjadi pekan-pekan kecil bagi menampung jumlah penduduk di Felda yang ramai.

Selepas hampir 60 tahun, pembinaan jalan persekutuan dan jalan negeri telah menghubungkan kawasan Felda dengan bandar-bandar berdekatan, seterusnya menyediakan akses kepada pelbagai bentuk punca pendapatan khususnya dalam bidang perniagaan.

Pengerusi Biro Kami Anak Felda (KAF) Malaysia, Mohamad Zamri Basri mengambil contoh, sebanyak 37 tanah rancangan di bawah wilayah Jengka sahaja dengan penduduk seramai 14,956 orang kini mempunyai akses mudah ke kawasan Jerantut, Maran dan juga Kuala Krau.

"Sebenarnya walaupun tanah Felda sudah diberhentikan penerokaan pada tahun 1990, anak-anak peneroka ini contohnya di wilayah ini, tidak mempunyai masalah dari segi mencari sumber pendapatan.

"Ia terlalu feksible dan banyak bergantung kepada seseorang individu itu untuk mendapat sebanyak mungkin pendapatan. Ruang dan peluang sentiasa diberikan dan dalam kawasan Felda ini sangat banyak untuk diraih," katanya kepada Bernama.

Mohamad Zamri berkata walaupun kebanyakan generasi baharu Felda dikatakan mempunyai masalah untuk memiliki rumah generasi baharu Felda kerana dikatakan tidak memiliki pendapatan tetap, namun tanggapan itu tidak begitu tepat, kerana peluang pendapatan sentiasa wujud.

 Zambri berkata Felda memberi sokongan penuh kepada generasi baharu Felda untuk mendapatkan pembiayaan bagi perniagaan dan melanjutkan pelajaran selain memberi latihan yang bersesuaian bagi mereka menceburkan diri dalam bidang perniagaan.

Antara bentuk bantuan yang ada termasuk Tabung Modal Insan (Tabung Minda) bertujuan melahirkan warga Felda yang cemerlang dan memiliki personaliti unggul, Dana Khas Pelajar Cemerlang ke Luar Negara dan Skim Insentif Anak Peneroka (SIAP) bertujuan meringankan beban kewangan keluarga peneroka.

Walaupun tiada program pembiayaan khusus, namun menurutnya Felda akan bertindak sebagai penyokong jika ada generasi yang memohon bantuan daripada pihak lain seperti Jabatan Pertanian, perbankan dan mana-mana jabatan berkaitan.

"Selain itu Felda  juga banyak menawarkan kursus dan latihan yang dibiayai Yayasan Felda seperti kursus kulinari, hospitaliti dan sebagainya yang bertempat di beberapa pusat latihan di wilayah-wilayah Felda.

"Malah ada juga latihan keusahawan seperti e-usahawan dengan kerjasama dengan MDEC (Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia), latihan kemahiran seperti kerjasama dengan CIDB (Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia), latihan pekerjaan dengan DMart Trading," katanya.

Dalam masa yang sama, katanya Felda juga mempunyai Pusat Latihan Industri  Felda untuk melatih generasi baharu serta mewujudkan bengkel kemahiran Filem (amp) Multimedia Felda dengan kerjasama Felda, Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) dan Ikatan Seni Komuniti Felda (Iskaf).

"Felda turut menggalakkan generasi baharu untuk mengusahakan tanah sama ada untuk perladangan atau penternakan. Malah generasi kedua boleh memohon lot-lot Felda yang kosong untuk diusahakan," katanya yang menambah bahawa kira-kira 40 peratus generasi baharu Felda di wilayah Jengka masih menetap di tanah rancangan masing-masing.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dalam ucapannya di gugusan Felda Chini, baru-baru ini memberi jaminan akan menjaga kebajikan warga Felda kerana ia begitu dekat dengan hatinya kerana Felda diwujudkan oleh ayahandanya Tun Abdul Razak Hussein sewaktu menjadi Perdana Menteri.

"Siapa yang telah membela masyarakat Felda selama ini? Selalu kita sebut dari mula kita berputik, daripada orang yang tak ada tanah sama sekali hanya ada tanah sekangkang kera, mereka dapat tanah 10 ekar (empat hektar).

"Ada setengah tempat, dulu hutan kini dah tepi lebuh raya, yang jadi jutawan pun ada, daripada kita bertatih, rumah pondok, jalan tanah merah, lihat sahaja hari ini perubahan yang sangat besar," katanya.

Najib yang juga pengerusi Barisan Nasional ketika mengumumkan manifesto Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Umum ke-14 antara lain menjanjikan untuk mewujudkan lebih banyak rumah komuniti Felda selain menaik taraf 422km jalan di sekitar penempatan Felda. - Bernama