Naib Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan Rancangan (JKKR) Felda Perasu, Ismail Mohamad berkata, tidak timbul soal agihan tanah bagi generasi kedua itu dibuat secara haram.

Katanya, pihaknya menerima surat kelulusan bertarikh 19 Februari tahun lalu yang ditandatangani Pengarah Pengurusan Tanah Felda, Shahrizal Mohd. Salleh.

“Perkara itu juga sudah diputuskan dalam mesyuarat JKKR Perasu yang dihadiri sebilangan besar daripada 244 peneroka.

“Kita melaksanakan pengagihan itu lewat sedikit kerana membincangkan cara penyelesaian tanah kosong dan tanah rizab yang diterokai peneroka itu sendiri.

“Kita menyangkal berlaku sindiket jualan tanah rizab di Felda Perasu dan apa yang kita lakukan berdasarkan peraturan terkandung dalam surat kebenaran itu," katanya ketika ditemui di Pejabat JKKR Felda Perasu, di sini hari ini.

Sebelum itu, JKKR berkenaan mengadakan mesyuarat bagi membincangkan dakwaan segelintir peneroka tentang sindiket penjualan tanah rizab di rancangan Felda itu.

Khamis lalu, lebih 200 peneroka di Felda Perasu di sini, mendakwa berlaku sindiket menjual tanah rizab membabitkan tapak rumah, dewan orang ramai, pondok bit polis dan dewan aktiviti belia sejak sebulan lalu.

Jelas Ismail lagi, pertikaian berhubung perkara itu hanya membabitkan segelintir peneroka yang tidak berpuas hati dengan cara pengagihan lot rumah kepada generasi kedua dan jumlah bayarannya.

“Kita menyediakan 244 lot kosong tanah rizab Felda itu kepada setiap peneroka untuk anak mereka dan saya menganggap pertikaian itu kerana salah faham.

“Bayaran untuk satu lot rumah itu RM650. Ia tidak mahal kerana RM600 dibayar kepada pihak mengukur sempadan tanah dan RM50 lagi untuk pengurusan JKKR,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Majlis Belia Felda Perasu, Muhamad Badrulhisham Deraman pula berkata, generasi kedua Felda di rancangan tanah itu menyokong penuh usaha yang dilakukan oleh pihak Felda.

Katanya, setakat ini seramai 144 orang generasi kedua melalui keluarga masing-masing sudah membayar harga tanah lot rumah berkenaan.

“Kita generasi kedua Felda sudah lama berhasrat untuk membina rumah di tanah lot yang dibeli sendiri.

“Kami sudah tidak mahu lagi tinggal bersama di rumah ibu bapa dan terpaksa bersesak dengan adik-beradik lain yang sudah berumah tangga," katanya. - K! ONLINE