Unit Komunikasi Korporat Felda dalam kenyataan hari ini berkata, pembayaran tersebut melibatkan mereka yang bekerja dengan pembekalan dan kerja-kerja berkaitan operasi kebun peneroka Felda seperti kerja tuai dan angkut.

"Felda mengucapkan terima kasih kepada Kementerian Kewangan dan Kementerian Hal Ehwal Ekonomi atas pinjaman kewangan sebanyak RM500 juta melunaskan tunggakan bayaran bagi tahun 2018 kepada pembekal dan kontraktor Felda.

"Felda berharap pembayaran tunggakan ini akan melancarkan operasi kebun peneroka dan dapat memaksimumkan hasil serta pendapatan mereka," menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu turut menjelaskan bahawa Felda kini sedang melaksanakan beberapa inisiatif transformasi untuk memulihkan aliran tunai mereka, bagi memastikan kelewatan bayaran tidak berlaku pada masa hadapan. 

Selasa lepas, Bernama melaporkan 40 pemandu lori daripada lima kontraktor di Felda Kahang Barat, Kluang, Johor, meminta penjelasan pihak Felda dan anak syarikatnya, Felda Technoplant Sdn. Bhd. (FTP) berkenaan tunggakan bayaran gaji dan upah mereka. - Bernama