Hakim Datuk Ab. Karim Ab. Rahman membuat keputusan itu selepas mempertimbangkan tempoh hukuman sembilan bulan yang dikenakan adalah pendek dan tempoh permohonan penangguhan mengambil masa yang panjang.

Mahkamah turut memerintahkan pelakon itu membayar ikat jamin sebanyak RM10,000 berserta syarat tambahan pasport diserahkan kepada mahkamah dan melapor diri di balai polis berdekatan sebulan sekali sehingga kes selesai.

Setakat hari ini, Farid Kamil telah  menjalani hukuman di Penjara Kajang selama 35 hari selepas Mahkamah Majistret sebelum ini tidak membenarkan penangguhan hukuman terhadapnya dan sepanjang tempoh itu selebriti tersebut terpaksa menyambut Aidilfitri dalam penjara.

Dalam prosiding itu, pendakwaan diwakili  Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Nazneen Zulkifli manakala Farid diwakili peguan Amirul Ridzuan Hanif dan Ahmad Safuan Hazlan.

Pada 21 Mei lalu, Farid melalui peguamnya memfailkan notis permohonan dan turut memfailkan notis usul, sijil perakuan segera dan afidavit sokongan pada 31 Mei lalu.

Semasa prosiding berlangsung hanya adik Farid, Fadzil hadir manakala isterinya Datin Diana Daniell tidak kelihatan.

Sejurus selepas prosiding tamat semasa dibawa anggota polis untuk proses ikat jamin, ketika ditanya perasaan dibenarkan penangguhan hukuman, Farid hanya menjawab ringkas “Insya-Allah, Allah permudahkan..,” katanya.

Pada 15 Mei lalu, Farid Kamil dihukum penjara sembilan bulan dan diperintah berada di bawah pengawasan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) selama dua tahun oleh Mahkamah Majistret Petaling Jaya selepas didapati bersalah menggunakan dadah THC.

Majistret Nor Ariffin Hisham membuat keputusan itu terhadap Farid selepas selebriti yang sepatutnya membela diri dengan memberi keterangan secara bersumpah dalam kandang saksi menukar untuk berdiam diri selain mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah.

Jika memberi keterangan bersumpah, tertuduh boleh diperiksa balas oleh pendakwaan manakala bagi keterangan yang diberikan dalam kandang tertuduh,  mereka tidak akan diperiksa balas oleh pendakwaan.

Sementara itu, jika tertuduh memilih berdiam diri, tertuduh akan disabitkan dan dihukum mengikut penalti yang ditetapkan dalam seksyen yang tertuduh didakwa.

Dalam prosiding itu mahkamah juga tidak membenarkan permohonan pihak pembelaan untuk penangguhan pelaksanaan hukuman. Berikutan itu Farid akan dibawa ke Penjara Kajang dan hukuman penjara itu diperintah bermula tarikh sabitan.

Mengikut pertuduhan, Hero filem Lagenda Budak Setan itu didakwa menggunakan dadah berbahaya THC, iaitu ‘11-nor-delta-9-tetrahydrocannabinol-9-carboxylic acid’ di Pejabat Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya pada pukul 4.30 petang pada 11 Januari 2018.

Pertuduhan terhadapnya dikemukakan mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman maksimum penjara dua tahun atau denda sehingga RM5,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Pada 30 April lalu, selebriti itu diperintah bela diri dan diberi pilihan sama ada berdiam diri, memberi keterangan tanpa sumpah di luar kandang saksi atau memberi keterangan secara bersumpah dalam kandang saksi.

Seramai lima saksi pendakwaan dipanggil memberi keterangan sepanjang perbicaraan yang bermula pada 18 Disember 2018. - K! ONLINE