Konsistensi ditunjukkan kelab dimiliki Timbalan Perdana Menteri Emiriyah Arab Bersatu (UAE), Sheikh Mansour itu gagal dicabar meskipun cuba dihambat musuh setempat, Manchester United serta Liverpool dan Tottenham Hotspur.

EPL merupakan antara liga bola sepak yang mempunyai ramai peminat dan pengikut di seluruh dunia. 

Di Malaysia, popularitinya meninggalkan kancah bola sepak Serie A di Itali, La Liga (Sepanyol) mahupun Busdesliga (Jerman) dan Ligue 1 (Perancis) sedangkan ada ketikanya, keempat-empat liga tersebut turut menampilkan kualiti, mutu permainan yang hebat serta menghiburkan.

Maka tidak hairanlah, rata-rata pasukan utama EPL kini mempunyai kelab peminat dan kelompok penyokong fanatik di negara ini. Masing-masing ada sebab tersendiri dalam memilih kelab bola sepak mereka. 

Ada yang terpengaruh dan terikut-ikut kawan atau ahli keluarga, dipaksa pasangan namun sebahagian besar didorong selepas menyaksikan sendiri kualiti dan falsafah permainan yang ditunjukkan kelab bola sepak terbabit. 

Ramai yang sanggup bersengkang mata menonton siaran langsung pada awal pagi sehingga ke wisel penamat, tidak kurang juga yang tanpa segan mengenakan jersi pasukan pujaan walaupun ketika itu, kelab disokong jauh terperosok di bawah carta liga.

Setiap perkara membabitkan kelab diambil peduli. Strategi serta taktikal yang digunakan oleh pengurus, prestasi pemain, isu kecederaan, semuanya boleh diulas dengan begitu fasih dan lancar.

Mengikuti perjalanan jatuh bangun sesebuah kelab bola sepak sangat mengujakan. Apabila menang, sepanjang hari kita boleh tersenyum. Jika tewas, perasaan ceria bertukar duka.

Walaupun ramai dalam kalangan peminat fanatik EPL tidak pernah pun menjejakkan kaki ke England apatah lagi stadium kelab yang dipuja, golongan seperti ini hakikatnya memperlihatkan ciri-ciri sebenar seorang penyokong. 

Penyokong itu mesti komited, perlu berani, harus bersungguh-sungguh mempertahankan maruah kelab dan pastinya, sentiasa setia. 

Kerancakan media sosial sejak kebelakangan ini terus menyemarakkan lagi keterujaan penyokong. 

Status provokasi, ‘membahan’ dan memperkecil-kecilkan kekuatan kelab lain mewarnai paparan Facebook, Instagram dan Twitter. 

Tidak sampai seminit kelab disokong beroleh kemenangan, berjela-jela status berunsur riak, sombong dan menyakitkan hati dimuat naik.

Apabila kalah, sunyi sepi laman sosial mereka seperti sudah kehabisan data internet sehingga wujudnya istilah ‘masuk ke dalam gua’.

Secara peribadi, sejak beberapa tahun lalu saya sudah lali menerima mesej WhatsApp daripada sahabat termasuk kenalan lama, mengucapkan takziah (padan muka) ekoran kekalahan pasukan pilihan saya, Arsenal.

Ada juga yang beria-ia dan bersemangat melakukannya pada pukul 2 atau 3 pagi semasa saya sedang lena diulit mimpi. Sebagai balasan, saya juga sering melakukan perkara sama jika keadaan mengizinkan.

Bagi peminat fanatik EPL, gurauan kasar seperti ini adalah sesuatu yang menyeronokkan. Bahkan tidak keterlaluan, ia sebenarnya mengeratkan silaturahim.

Biarpun berbeza pilihan dan pemahaman tentang falsafah bola sepak, masing-masing tidak bermasam muka ketika bersua. Semalam kutuk, hari ini pula berdekah-dekah ketawa bersama. 

Justeru, menjelang Pilihan Raya Umum ke-14 tidak lama lagi, mungkin para penyokong tegar (fanatik) parti-parti politik boleh mengambil semangat ditunjukkan peminat EPL.

Belajarlah untuk menjadi setia kerana sehingga kini, jarang sekali kita dengar penyokong EPL bertukar kelab. Mereka sokong ketika kelab kuat dan kekal teguh mempertahankannya semasa lemah. 

Apa yang lebih penting,  biarpun berlainan ideologi, pamerkanlah sikap matang dan terbuka. Pertahankan silaturahim. Berseteru pada hari perlawanan (pengundian), bersaudaralah selama-lamanya!