Pengarah FAMA Selangor, Datuk Abdul Ghariff Ramin berkata, pihaknya akan mengenal pasti dahulu kawasan-kawasan yang boleh dibangunkan dengan tanaman berkenaan sebelum ia dibincangkan dengan lebih terperinci.

Beliau berkata, adalah polisi pihaknya untuk membangunkan tanah-tanah terbiar ini dengan tanaman seperti buah-buahan tempatan.

"Kita akan adakan perbincangan lanjut dengan kerajaan negeri kerana setiap bulan FAMA akan bertemu dengan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) pertanian.

"Melalui pertemuan itu, kita akan dapatkan maklumat tentang kawasan-kawasan yang boleh dibangunkan  seperti kawasan di Sabak Bernam, Kuala Selangor dan sebagainya," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada program Lebihkan Makan Buah Tempatan Peringkat Negeri Selangor di Sekolah Kebangsaan Johan Setia di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Abdul Ghariff berkata, setakat ini hanya Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) telah membangunkan tanaman seperti itu secara komersial di kawasan di Selangor Fruit Valley.

Akhbar Kosmo! hari ini melaporkan FAMA me­rancang untuk membangunkan tanah wakaf terbiar khususnya di pinggir bandar dan kawasan terpencil yang terdapat di seluruh negara dengan penanaman durian.

Pengeru­sinya, Ishak Ismail meminta kerajaan negeri dan Majlis Agama Islam mempertimbangkan hasrat berkenaan dalam usaha menggalakkan lebih ramai penanam baharu sekali gus memberi nilai tambah kepada tanah wakaf itu sendiri.

Katanya, FAMA sedia menjalinkan koloborasi bersama kerajaan negeri atau Majlis Agama Islam, untuk melihat tanah terbiar ini dapat diusahakan bersama pihaknya ke­rana ia sangat berpotensi untuk kita tingkatkan nilai dengan cara penanaman durian Musang King.

Tambah beliau, berdasarkan data yang diperoleh, terdapat banyak tanah wakaf terbiar di seluruh negara yang mencecah nilaian sehingga RM58 bilion tetapi terbiar begitu sahaja tanpa diusahakan. - K! ONLINE