Pengarah Fama Kelantan, Mohd. Ariffin Awang berkata, sehingga ini pihaknya telah membeli buah berkenaan membabitkan 13 buah kampung antaranya Manik Urai, Kampung Peria dan Lata Rek di Kuala Krai dan Air Lanas di Jeli dengan harga RM3.80 sekilogram.

"Fama akan memproses buah durian menjadi produk yang mampu memberi pulangan lebih tinggi," katanya kepada pemberita ketika ditemui pada Program Taklimat Pemprosesan Durian di Pusat Operasi Fama di sini hari ini.

Mohd. Ariffin berkata, pembelian terus dari kebun durian bermula sejak 26 Julai lepas dan pihaknya mampu memproses sebanyak dua hingga tiga tan sehari.

Beliau berkata, petani boleh menghubungi pejabat Fama berdekatan sekiranya mahu menjual durian sama ada jenis kampung atau klon kepada pihaknya. - Bernama