Operasi GPL akan dilakukan dari masa ke masa bagi memastikan buah yang mendapat permintaan tinggi di pasaran mesti bermutu sekali gus mengekang kes penipuan kualiti dan harga yang dijual.

Pengarah Penguatkuasaan Bahagian Regulatori FAMA, Sabri Naseh berkata, sikap peniaga yang mahu mengaut keuntungan berlebihan menyebabkan pengguna terpaksa membayar harga mahal walaupun kualiti produk yang dijual tidak setanding dengan harga.

Menurut beliau, ada sesetengah peniaga tergamak menipu dengan mendakwa durian yang dibawa masuk dari Thailand dan adalah durian Musang King. 

“Bagi harumanis pula ada peniaga yang membawa buah mempelam dari Jawa Timur dan Jawa Barat dan didakwa sebagai mempelam harumanis Perlis yang juga dijual dengan harga mahal,” kata beliau selepas Operasi  Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) Penguatkuasaan Peraturan GPL di Pasar Borong Kuala Lumpur.

Sabri berkata, menerusi operasi GPL, FAMA yakin mampu memastikan peniaga tidak mengambil kesempatan dengan menjual produk palsu atau produk tidak berkualiti tetapi dengan harga tinggi.

“Pembeli pula dapat membuat pilihan produk mengikut gred,” katanya.

Terdahulu dalam operasi selama enam jam bermula pukul 10 malam hingga 4 pagi di Pasar Borong Kuala Lumpur itu, FAMA mengeluarkan 15 surat amaran kepada pembekal yang telah melanggar Peraturan GPL kerana tidak mempamerkan maklumat label di setiap produk jualan mereka.

Operasi tersebut disertai 50 pegawai penguat kuasa FAMA, Polis Diraja Malaysia, Jabatan Imigresen, Dewan Bandar Kuala Lumpur dan Jabatan Alam Sekitar.

“Walaupun jumlah kes pemborong atau peniaga melanggar prosedur GPL tidak banyak tetapi FAMA memandang serius perkara berkenaan,” ujarnya. - K! ONLINE