Ketua Pengarah FAMA, Datuk Ahmad Ishak berkata, duku tersebut akan dipasarkan di 1,500 rangkaian MyFarm Outlet dan Agrobazar selain pasar tani serta pasar raya di seluruh negara terutama di Lembah Klang, Johor Bahru dan Pulau Pinang.

Beliau berkata, bekalan duku tersebut akan diperolehi daripada pengusaha duku Terengganu di seluruh negeri tersebut seperti Kampung Serada, Kuala Terengganu; Kampung Pelong, Setiu dan Kampung Keruak, Besut sehingga musim pengeluaran dijangka berakhir pada Disember depan.

"Duku Terengganu yang merupakan antara varieti duku langsat terkenal dengan kemanisan, kenyal, berbiji kecil dan rasa sejuk apabila dimakan.

"FAMA juga akan giat mempromosikan buah tempatan di media cetak dan sosial dengan menggunakan tagline (slogan), Duku Terengganu, nikmat rasa duku langsat sebenar pada masa terdekat," katanya di Serada di sini hari ini.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri majlis dialog dan menandatangani memorandum perjanjian dengan pengusaha Duku Terengganu. Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa Terengganu, Dr. Azman Ibrahim. - K! ONLINE