Pengarahnya, Che Samudin Hassan berkata karnival yang menyasarkan nilai jualan antara RM800,000 hingga RM9000,000 dalam tempoh berkenaan bertujuan mengelak lambakan buah-buahan bermusim seperti durian, manggis, rambutan dan pulasan di negeri itu dan menyebabkan kejatuhan harga yang lebih rendah.

Beliau berkata karnival, yang bermula jam 10 pagi hingga 10 malam itu, menjual pelbagai durian jenis Musang King, Udang Merah, IOI, D13 dan D18 pada harga antara RM10 hingga RM35 sekilogram manakala manggis, rambutan dan pulasan antara RM4 hingga RM8 sekilogram.

"Durian yang dijual di karnival berkenaan kita peroleh daripada peladang di sekitar negeri ini kerana di Melaka sahaja kita mempunyai kira-kira 1,000 hektar ladang durian yang dapat mengeluarkan hasil 1,100 tan metrik pada musim ini dan ladang terbesar adalah di sekitar Jasin iaitu di Chinchin dan Asahan.

"Setakat ini kira-kira 750 hektar ladang durian di negeri ini mengeluarkan hasil dan kita jangkakan 21 hingga 26 Julai ini merupakan waktu kemuncak pengeluaran durian," katanya pada sidang media di pejabat FAM negeri di sini hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata karnival berkenaan menyasarkan kehadiran antara 25,000 hingga 30,000 pengunjung dari dalam dan luar negeri termasuk pelancong asing dan  FAMA akan menyediakan khemah serta tempat duduk untuk mereka menikmati terus buah-buahan di situ.

Beliau berkata bagi menarik pengunjung khususnya pelancong asing, pihaknya akan bekerjasama dengan syarikat pelancongan di negeri ini untuk membawa pelancong ke karnival tersebut sebagai salah satu destinasi yang perlu dilawati.

"Bagi pengunjung yang ingin membeli pada harga borong kita juga akan menganjurkan 'happy hour' atau harga runtuh  dua kali setiap hari selama satu jam iaitu pada jam 5 hingga 6 petang dan 9 hingga 10 malam dan semua buah yang dijual setiap hari perlu dihabiskan kerana kita ingin menjual buah-buahan yang segar," katanya.

Sementara itu, mengulas tentang lambakan buah-buahan bermusim di negeri itu, beliau berkata situasi di Melaka masih terkawal kerana FAMA negeri giat membantu peladang durian dan buah-buahan bermusim yang lain untuk memasarkan hasil keluaran ladang mereka.

Katanya, selain itu, setakat ini musim durian hanya melibatkan negeri di selatan seperti di Melaka dan Johor manakala di ladang durian Pahang dijangka akan berbuah bulan depan. - Bernama