Pengarahnya Anuar Mohamed berkata, walaupun masih belum menerima sebarang laporan berhubung isu tersebut, pihaknya tetap mengambil langkah persediaan bagi  menghadapi sebarang kemungkinan memandangkan pengeluaran buah-buahan terutama durian pada tahun ini sangat menggalakkan. 

Beliau berkata terdapat beberapa kilang seperti di Perlis, Perak dan Pahang akan membantu Fama memproses buah-buahan tersebut menjadi produk yang mampu memberi pulangan tinggi untuk petani sekiranya timbul isu lambakan.  

"Buah durian misalnya, kita boleh proses menjadi pes seperti ais krim atau sekiranya ia daripada gred rendah, kita akan jadikan tempoyak. Setakat ini, pes dan tempoyak memang mendapat permintaan tinggi," katanya ketika ditemui selepas menghadiri program My Best Buy dan Jimat Belanja di Pasar Tani Kekal di sini hari ini. 

Buat masa ini, beliau berkata pihaknya sudah memantau semua kawasan pengeluaran durian berpotensi tinggi seperti di Bandar Baharu, Sedim dan Junjong serta apa yang berlaku cumalah harga jualan sangat rendah berbanding tahun-tahun lalu.

Ini termasuklah durian gred premium yang dijual pada harga lebih murah iaitu sekitar RM40 sekilogram bagi Musang King dan Duri Hitam RM60 sekilogram manakala durian kampung dijual sekitar RM5 sekilogram, katanya. 

Faktor cuaca iaitu suhu antara 27 hingga 35 darjah Celsius dikenal pasti sebagai punca pengeluaran buah durian di Malaysia meningkat tiga kali ganda kepada 180 juta kilogram pada tahun ini. - Bernama