Pengerusi FAMA, Ishak Ismail berkata, bekalan kelapa yang sebelum ini banyak diimport dari Indonesia misalnya, kini diperoleh dari Pulau Papabak, Sabah untuk pasaran Semenanjung sejak tahun lalu untuk mencukupkan jumlah permintaannya terutamanya ketika musim perayaan.

"Di sana, banyak kelapa tapi disebabkan berada di kawasan pedalaman ia sukar untuk dijual jadi FAMA ambil langkah beli kelapa daripada mereka, sekaligus dapat membantu meningkatkan pendapatan masyarakat di sana.

"Jika ada petani di pedalaman yang bermasalah untuk jual hasil mereka, boleh berhubung dengan FAMA dan dalam masa terdekat kami akan ke Sik untuk lihat dan beli labu manis dan manggis di sana," katanya pada program Bazar Peduli Rakyat di Dataran Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) di sini hari ini.

Program diadakan sempena Ramadan esok, yang menawarkan pelbagai bahan mentah pada harga kurang 30 peratus daripada harga pasaran itu, dirasmikan oleh Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Mahfuz Omar.

Dalam pada itu, Ishak berkata, bekalan bahan mentah utama seperti daging, ayam dan kelapa yang mendapat pemintaan tinggi dijangka mencukupi sepanjang Ramadan sehingga menjelang Syawal.

Sementara itu, Mahfuz yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena berkata, pengguna dinasihatkan agar mempelbagaikan penggunaan bahan mentah bagi mengelakkan sesuatu bekalan terputus.

"Pengguna perlu mengubah cara penggunaan bahan, contohnya, kalau hendak guna santan tidak semestinya perlu beli kelapa kerana ada santan kotak dan juga santan kelapa sawit, jadi bila pengguna pelbagaikan sumber soal bekalan tidak cukup tidak timbul. - Bernama