Tidak kurang hebatnya terdapat juga pertembungan enam penjuru di 11 kerusi iaitu dua kerusi Parlimen dan sembilan kerusi DUN.

Lebih menghangatkan, PRU-14 kali ini bakal menyaksikan 37 pertembu­ngan lima penjuru iaitu enam kerusi Parlimen dan 31 kerusi DUN. Seba­nyak 113 kerusi pula bakal menyaksikan persaingan empat penjuru (33 kerusi Parlimen dan 80 kerusi DUN).

Secara peribadi, tumpuan penulis lebih terarah di DUN Bukit Antarabangsa. Apa tidaknya, di DUN Bukit Antarabangsa bakal berlakunya pertembungan lima penjuru. Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali (PKR) akan ditentang empat calon lain iaitu Salwa Yunus (BN), Ahmad Kamarudin (PRM), Syarifah Hazlizah Syed Ariffin (Pas) selain adiknya, Azwan Ali (Bebas).

Satu lagi kerusi yang bakal memperlihatkan pertembungan sailang (habis-habisan) adik-beradik ialah di DUN Tambunan. Dua nama besar dalam dunia politik Sabah - Tan Sri Joseph Pairin Kitingan (BN) akan membuat perhitungan dengan adiknya, Datuk Dr. Jeffrey Kitingan (STAR). Lebih menarik, kedua-dua ‘orang lama’ itu bakal ditentang adik ipar mereka, Justin Alip yang bertanding atas tiket parti baharu, Warisan.

Selain penulis, pemerhati serta penganalisis politik juga sudah pasti teruja untuk menyaksikan ‘comeback’ daripada mantan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad. Selepas hampir 20 tahun tidak bertanding dalam PRU, Mahathir kembali mempertaruhkan nasibnya di gelanggang pilihan raya.

Tidak lagi bertanding di kerusi tradisinya, Kubang Pasu, Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) itu sah bertanding di kerusi Parlimen Langkawi sebagai calon PKR. Pada usia 92 tahun, penampilan semula Mahathir - calon tertua yang bertanding pada PRU-14 wajar diberi perhatian oleh dua lagi lawannya iaitu penyandang, Datuk Nawawi Ahmad (BN) dan Zubir Ahmad (Pas).

Kejutan awal turut berlaku apabila beberapa selebriti turut menjadi calon. Antaranya bekas pemain bola sepak kebangsaan, Muhammad Radhi Mat Din, pakar motivasi, Dr. Tengku Ismadi Tengku Mohamad, pence­ramah agama, Syamsul Amri Ismail atau lebih terkenal dengan panggilan Syamsul Debat.

Tidak terkecuali, bekas Ketua Pe­ngarang Berita TV3, Khaidir Ahmad serta tiga calon Pas yang juga perso­naliti televisyen, Nushi Mahfodz, Mohd. Zamri Mohd. Zainudin atau lebih dikenali dengan nama ‘Ustaz Zamri Mantop’ dan Ahmad Dusuki Abd. Rani atau lebih popular dengan panggilan Ustaz Dusuki.

Itu antara rencah ‘sedap’ yang dapat penulis rangkum pada hari penamaan calon. Ada banyak lagi cerita menarik yang disajikan kepada kita semua sepanjang hari tersebut. Ada cerita gembira, ada juga cerita kurang gembira. Bagi penulis, rencah-rencah ini yang akan menjadikan PRU-14 sebagai antara pilihan raya umum yang pasti akan diingati oleh seluruh rakyat ­Malaysia.

Suka penulis katakan, selain parti, faktor calon berperanan penting bagi menentukan kejayaan dalam pilihan raya buat sesebuah pasti. Sifirnya cukup mudah, baik BN mahupun gabungan pembangkang, mereka pasti meletakkan calon yang mempunyai ciri-ciri disukai pengundi.

Bukan itu sahaja, calon itu juga harus bersih daripada sebarang isu yang membabitkan rasuah, penyalahgunaan kuasa, skandal atau sebarang perkara yang bercanggah dengan perundangan. Itu sahaja yang pengundi mahukan. Pengundi hari ini akan menilai kebijaksanaan dan kehebatan calon dengan cara dia menangani sesuatu isu.

Penulis juga ada mendapatkan pandangan daripada rakan-rakan sepejabat, kawan-kawan di kampung mahupun ahli keluarga tentang hal ini. Mereka turut sependapat dengan penulis. Bagi mereka dan juga penulis, calon yang sesuai juga perlu diambil kira.

Ada juga rakan-rakan penulis memberitahu, isu pemilihan calon yang dipilih bukan dari kawasan calon itu bertanding. Kata mereka, tidak salah untuk memilih calon seperti itu tetapi lebih baik jika anak tempatan yang menjadi pilihan. Jika anak tempatan dipilih sebagai calon, orang kampung sudah pasti berasa bangga. Lebih-lebih lagi jika anak kampung mereka menjadi wakil rakyat.

Cabaran parti-parti bertanding da­lam PRU-14 tentulah berkisar kepada usaha untuk memenangi hati dan menarik sokongan pengundi muda dan baharu.

Kelompok-kelompok ini bermaklumat, berfikir kritis serta mahukan pelbagai perkara dan sukar untuk difahami apakah sebenar kehendak mereka. Dalam menilai seorang calon, kualiti yang penting adalah tindakan yang diyakini pemilih akan direalisasikan oleh calon apabila menang nanti.

Pesan penulis tak banyak, bagi calon yang terpilih menjadi wakil rakyat nanti, sebaik ditabalkan selaku pemenang, mulakan kerja dengan niat yang ikhlas. Jangan buat-buat lupa aku janji yang telah dibuat kepada rakyat. Janganlah gelaran Yang Berhormat membuatkan kita menjadi lalai. Ba­nyak tanggungjawab dan tugas serta amanah rakyat yang perlu dilaksanakan. Itulah yang perlu diutamakan.