Ketua Pegawai Eksekutif KTMB, Rani Hisham Samsudin berkata, kemalangan yang membabitkan 30 gerabak tren kargo muatan simen itu telah mengakibatkan 300 meter landasan tunggal antara Stesen Rawang dan Kuang terhalang sepenuhnya. 

"Lapan daripada 30 gerabak dengan muatan simen itu telah tergelincir, manakala 22 gerabak lagi dan lokomotif tren itu masih berada di atas landasan. 

"Kami terpaksa menutup tiga stesen iaitu Stesen Rawang, Kuang dan Serendah bagi kerja-kerja membaik pulih dan mengalihkan gerabak yang tergelincir kerana landasan dan kabel rosak teruk akibat kemalangan itu semalam. 

"Ia dijangka mengambil masa lima hingga enam hari dan kami cuba memastikan landasan itu boleh dilalui semula oleh tren-tren lain selewat-lewatnya Isnin ini," katanya kepada pada sidang media di sini, hari ini. 

Pihaknya turut menpercepatkan kerja-kerja menaiktaraf satu lagi landasan di laluan itu iaitu di bawah projek Landasan Berkembar Lembah Klang (KVDT).

"Pada masa sama, kerja-kerja menaiktaraf dan membaiki landasan dijalankan dan kami akan membuka salah satu daripada landasan yang telah siap untuk laluan tren-tren lain secepat mungkin," katanya. 

Rani Hisham berkata, justeru itu, pihaknya telah menyediakan kira-kira 30 bas perantara dan van bagi semua penumpang terlibat untuk meneruskan perjalanan ke Sungai Buloh, Kuang, Rawang dan Serendah dan sebaliknya secara percuma. 

"Para penumpang ETS yang menuju ke destinasi di antara kedua-dua Stesen KL Sentral dan Stesen Tanjung Malim turut disediakan bas-bas perantara untuk meneruskan perjalanan mereka," katanya. 

Mana-mana penumpang yang ingin membatalkan perjalanan mereka sama ada tiket ETS atau Komuter boleh menuntut kembali bayaran penuh di mana-mana stesen KTMB. - Bernama