Komander ESSCom, DCP Datuk Hazani Ghazali berkata perkara itu selari dengan ESSZone yang juga diwartakan sebagai kawasan keselamatan.

"Saya mencadangkan kepada pihak tertentu supaya mewartakan ESSZone ini no fly zone untuk dron, kecuali kepada pasukan keselamatan atau pihak yang ada permit," katanya ketika ditemui pemberita di sini, hari ini.

Jabatan Penerbangan Awam (DCA) sebelum ini membenarkan penggunaan dron di bawah 3,000 dan 6,000 kaki mengikut kawasan tertentu di negara ini.
Hazani berkata, penggunaan dron perlu diharamkan di ESSZone kecuali bagi mereka yang memohon kepada pihak berkuasa termasuk DCA.

"Saya tidak mahu dron diterbangkan khususnya di kawasan pelaksanaan kawalan keselamatan seperti Road Check Point atau pos-pos kawalan.

"Dron banyak dikesan penggunaannya di laut ESSZone dan ini boleh mendedahkan kepada kawalan keselamatan ESSCom," katanya lagi.

Dalam pada itu katanya, kerajaan memiliki kuasa bagi di mana-mana kawasan di Malaysia sama ada udara, laut atau darat untuk melaksanakan penguatkuasaan dan mewujudkan kawasan larangan untuk UAV.

Hazani berkata polis turut mempunyai pakar UAV yang mampu memanggil 'turun' dron yang sedang diterbangkan.

"Pegawai polis ini mendapat pentauliahan daripada Amerika Syarikat serta Kesatuan Eropah," katanya lagi.

Sementara itu, Hazani mendedahkan orang awam yang memiliki Air Gun dan membawanya ke tempat awam adalah salah dan boleh dikenakan tindakan undang-undang.

"Air Gun bukan Toy Gun yang boleh dimiliki dan kalau beli serta guna adalah salah," katanya. - Bernama