Hari ini 13 Zulhijah adalah hari terakhir takbir Aidiladha bergema selepas umat Islam di negara ini menyambut Hari Raya Korban Ahad lalu.

Suasana ibadah korban yang disempurnakan dengan penyembelihan haiwan seperti lembu, kerbau dan kambing sememangnya dapat menye­marakkan semangat perpaduan dalam kalangan umat Islam selain memberi peluang kepada jemaah haji di Tanah Suci menyempurnakan Rukun Islam kelima itu.

Konteks pengorbanan yang tersirat dalam ibadah korban ini amat luas, meliputi pelbagai sudut kehidupan.

Misalnya, bekerja pada cuti umum Aidiladha ketika syarikat atau tempat kita be­kerja menghadapi masalah ke­wangan hakikatnya ada ujian pengorbanan di sebaliknya.

Ironinya di tempat kerja penulis sendiri, perkara seperti ini berlaku pada Hari Raya Korban tahun ini.

Penulis tidak mahu berce­rita banyak tentang masalah ini, cukuplah apa yang dilaporkan atau menjadi ca­tatan di laman sosial.

Sewaktu hendak menulis kolum ini pun, penulis terme­nung seketika ketika makan tengah hari bersama rakan di Bangsar, Kuala Lumpur.

Menurut rakan penulis, pada saat kita diuji, pasti ada pengorbanan yang harus dilakukan walaupun perit dan sukar.

Sambil menyedut teh ais dia memberitahu, inilah waktu untuk syarikat dan pekerja sama-sama berkorban demi survival kedua-dua pihak.

“Memang ada turun naik dalam perjalanan hidup, inilah saatnya kita kena berkorban untuk memikul tugas hakiki,” katanya ringkas.

Bagi penulis, berat mata memandang berat lagi bahu yang memikul.

Hanya pekerja yang bersemangat dan berfikiran positif mampu mendepani sesuatu keadaan sukar walaupun ia amat mencabar.

Namun, ada segelintir termasuk bekas pekerja tidak mampu mengawal emosi apabila melemparkan kenya­taan-kenyataan yang keras terhadap majikan di laman sosial.

Benar, sifat amarah itu membuatkan mereka hilang pertimbangan mengawal emosi. Pendek kata, mereka tidak mampu lagi berkorban dan berkompromi dengan masalah yang dihadapi.

Pun begitu, apa jua yang kita sedang lalui ketika ini, penulis tidak bersetuju jika ada dalam kalangan kita hilang rasa hormat dan adab terhadap orang lain.

Adakah dugaan tersebut boleh dijadikan alasan untuk kita bebas memaki hamun dan bersikap kurang ajar terhadap orang lain gara-gara tidak berpuas hati?

Hayatilah semangat Aidiladha ini agar kita korbankan sikap ego yang ada dalam diri.

Bulan Ramadan lalu, penulis ada singgah berbuka puasa di warung bekas rakan se­kerja yang menjual mi rebus, rojak dan sirap sarbat.

“Sekurang-kurangnya dia ada jalan untuk atasi masalah kewangan yang dihadapi,” kata seorang kawan penulis yang lain.

Ujarnya lagi, dua tiga ekor ayam tidak berkokok hari tetap siang, hari tetap bersilih ganti dan hidup tetap diteruskan.

Tiada masalah yang tidak boleh diselesaikan. Hanya waktu, usaha dan tawakal, penulis yakin dengan izin Tuhan ia dapat diatasi.

Persoalannya di sini, sejauh mana kita mampu bersabar menghadapinya?

Inilah persoalan yang me­nguji kita semua sehingga keadaan kembali seperti sedia kala.

Pengorbanan ini juga me­nguji semangat perpaduan dalam kalangan rakan-rakan demi memikul beban tugas harian.

Dalam pada itu, janganlah kita lupa untuk menghargai jasa mereka yang telah membantu meringankan beban kita ketika dilanda musibah.

Alhamdulillah, sebilangan besar daripada kita dapat menyambut Adiladha bersama keluarga masing-masing. Penulis berharap semangat ini dapat dikekalkan.

Inilah pergorbanan dan perpaduan yang harus ada. Bulat air kerana pembetung, bulat kata kerana muafakat. Salam Aidiladha untuk semua pembaca Kosmo!.