Dalam kejadian pada pukul 11.55 malam, sebuah bot bernombor pendaftaran KG 94084 TS sedang bersauh dan lima awak-awak bersama seorang tekong leka menangkap ikan ketika mereka dihimpit Kapal Maritim Malaysia yang menjalankan Operasi Perkasa Timur dan Ops Marikh.

Timbalan Pengarah Operasi Maritim Malaysia Kelantan, Komander Maritim Ismail Hamzah berkata, hasil pemeriksaan awal mendapati mereka tidak memiliki sebarang dokumen termasuk permit kebenaran menangkap ikan di perairan negara.

Menurutnya, nelayan asing yang berusia 22 hingga 49 tahun itu menggunakan teknik rawai untuk menangkap ikan tenggiri dan jerung di lokasi berkenaan.

"Kapal Maritim Jujur yang diketuai Leftenan Komander Mohd. Fazrul Nizam Mohd. Mustapa menunda masuk bot bersama nelayan terbabit ke Pangkalan Operasi Maritim Malaysia Kelantan di Tok Bali pada pukul 3 petang hari ini.

“Ini adalah bot yang kedua nelayan asing yang menggunakan rawai berjaya ditahan sepanjang tahun ini. Kita juga merampas ikan yang diperolehi yang dianggarkan seberat 200 kilogram selain 800 liter minyak diesel yang disimpan di dalam tong," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Ismail berkata,  kesemua mereka ditahan reman mulai hari ini bagi membolehkan siasatan lanjut mengikut Akta Perikanan Perikanan 1985.

Tambahnya, semua hasil rampasan termasuk bot yang digunakan nelayan asing itu dianggarkan berjumlah RM150,000. - K! ONLINE.

HABIS//