Kesemua mangsa yang ditemui kira-kira pukul 11.30 malam semalam diselamatkan oleh sebuah kapal tunda selepas tiga hari terapung bersama pelampung di perairan yang terletak 51 kilometer dari Kuala Kuantan di sini.

Komander Pasukan Marin Wilayah 3, Asisten Komisioner Norzaid Muhammad Said berkata, pihaknya menerima laporan daripada tekong nelayan bot tunda berkenaan kira-kira pukul 12.30 tengah hari tadi sebelum melaksanakan operasi bagi menyelamatkan mangsa.

Menurutnya, difahamkan keenam-enam mangsa, Mohd. Faisal Anuar, 29 (tekong), Mohd. Kahar Anuar, 28, Khairul Anuar Yusuf, 30, Zulkifli Zaini, 30, Mohd. Hafiruddin Zaini, 28, dan Mohd. Affendi Zaini, 26 berasal dari telipot Terengganu 

"Berdasarkan maklumat daripada mangsa, keenam-enam mereka termasuk tekong  telah ke laut sejak Sabtu lalu sebelum kapal mereka dipukul badai kuat sehari kemudian.

"Mereka kemudian telah terapung di laut selama tiga hari sebelum diselamatkan oleh kapal tunda yang melalui perairan berkenaan," katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Tambahnya semua mangsa yang tiba di Markas  Pasukan Marin Wilayah 3 di sini kira-kira pukul 2.30 petang tadi telah dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) untuk mendapatkan rawatan. - K! ONLINE