Jasad yang hanya tinggal beberapa serpihan tulang itu berjaya dikumpul ketika kerja-kerja menggali semula dilakukan pagi semalam sebelum ia dibawa pulang ke Masjid Penggawa Wan Embong, Kampung Alor Keladi, Hulu Besut dekat sini. 

Kesemua serpihan jasad tersebut dikafan dan disolatkan sebelum ditanam semula dalam satu liang lahad di Tanah Perkuburan Islam Kampung Alur Belanga yang terletak kira-kira 150 meter dari masjid tersebut.

Mengimbas semula kejadian pada tahun 1945 itu, Abdul Samad Abd. Karim, 81, berkata, semasa tiga orang tentera Jepun datang ke rumah untuk menahan bapanya, Abd. Karim Abd. Samad yang merupakan ketua kampung Lepan Kejor, Kertih, dia baru berumur 8 tahun.

“Saya difahamkan bapa ingin bekerjasama dengan tentera British yang merancang untuk menyerang tentera Jepun yang sedang memerintah Tanah Melayu ketika itu.
 
“Melalui  tali barutnya, tentera Jepun berjaya menghidu gerakan rahsia yang dijalankan oleh  bapa saya dan akhirnya mereka bertindak menahan bapa untuk menjalani hukuman bunuh,” katanya ketika ditemui Kosmo! selepas majlis pengebumian tersebut disini hari ini. 

Turut hadir, Pengerusi Program Pengkebumian Semula Jenazah Pengggawa Wan Embong dan Lima Rakan (Pensejahtera), Che Ku Abdul Rahman Che Ku Abdullah. 
 
Kosmo! semalam melaporkan waris kepada enam pejuang Melayu daerah Besut menghargai usaha menguburkan semula jasad tersebut di Tanah Perkuburan Alur Belanga, Alor Keladi, Hulu Besut di sini. 

Jenazah enam pejuang tersebut terdiri daripada Penggawa Wan Embong Wan Zainal bersama rakannya, Yatim Ahmad (Imam Masjid Kampung Teluk) dan empat ketua kampung iaitu Abd. Karim Abd. Samad (Lepan Kejor), Husain Abdullah (Dengir), Othman Mamat (Bekok) serta Ismail Ahmad (Teluk). 

Kesemua pejuang Melayu itu ditembak beramai-ramai sebelum dihumban dalam sebuah lubang selepas mereka memprotes keputusan penjajah ketika itu yang memaksa sebahagian penduduk Besut menjadi buruh paksa untuk membina landasan kereta api maut di Myanmar. - K! ONLINE