Dalam kejadian pada pukul 5.36 pagi itu, dua mangsa, Rafiq Hafizi Rahimi, 21, yang menunggang motosikal jenis Yamaha RXZ dan pembonceng, Mohd. Syarif Mohd. Said, 30, maut di lokasi kejadian.

Dua lagi mangsa iaitu penunggang motosikal jenis Kawasaki Ninja 150 RR, Muhsin Muhammad Wazer, 23, dan pembonceng, Mohammad Hafiz Jabon, 33, pula disahkan mening­gal dunia sewaktu dirawat di wad kecemasan Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB).

Keempat-empat mereka masih bujang.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Mohd. Ali Tambi berkata, berdasarkan keterangan saksi iaitu seorang Orang Asli yang merupa­kan pemandu kereta Proton Iswara, sewaktu kejadian, dua buah motosikal yang dinaiki keempat-empat mangsa dipercayai sedang berkonvoi dari arah Simpang Pulai menghala ke Ipoh.

Katanya, sewaktu tiba di lokasi kejadian iaitu kira-kira tiga kilometer dari Plaza Tol Ipoh Selatan, dua buah motosikal tersebut telah bergesel sesama sendiri dan dipercayai motosikal tersebut ditunggang dengan laju.

“Insiden itu menyebabkan dua buah motosikal itu kemudiannya terbabas sebelum merempuh bahagian belakang kereta tersebut.

“Motosikal jenis Yamaha RXZ yang dinaiki Rafiq Hafizi dan Mohd. Syarif melambung sebelum jatuh bahagian tepi lebuh raya,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Menurut Mohd. Ali, kedua-dua mang­sa disahkan maut di tempat kejadian, manakala Muhsin dan Mohammad Hafiz me­ninggal dunia sewaktu dirawat di wad kecemasan HRPB.

Jelasnya, keempat-empat mangsa dibedah siasat di HRPB sebelum mayat mereka dituntut oleh ahli keluarga masing-ma­sing.

Kes disiasat mengikut Seksyan 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Dalam pada itu, ibu tiri kepada Mohammad Hafiz, Jamaiah Hatim, 53, berkata, allahyarham sepatutnya mendirikan rumah tangga dengan seorang gadis dari Ipoh pada bulan Mac depan.

Katanya, pada malam kejadian­, Hafiz ada memaklumkan yang dia demam dan sempat mengambil ubat sebelum keluar.

“Allahyarham ada beritahu mahu keluar untuk menghadiri satu mesyuarat berikutan dia memegang jawatan sebagai Pengerusi Penaja Kelab Belia Generasi Felcra Nasaruddin bersama-rakannya di sebuah kedai makan,” katanya.

Sementara itu, abang allahyarham Muhsin Muhammad Wazer, 23, berkata, adiknya baru sahaja membeli motosikal Kawasaki Ninja 150 RR yang ditungganginya dalam nahas tersebut empat hari lalu.

Ujar Afzir, 37, adiknya yang merupakan anak bongsu daripada 10 beradik menggunakan motosikal jenis Yamaha 125Z sebelum membeli motosikal berkenaan baru-baru ini.

Katanya, Muhsin yang bekerja di sebuah kedai makan di Seri Iskandar telah lama menyata­kan minatnya terhadap motosikal Kawasaki Ninja 150 RRR sebelum mengambil keputusan untuk membelinya.