Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Muhammad Bakhtiar Wan Chik berkata, ia adalah bagi mengisytihar tapak tersebut sebagai Tapak Warisan Dunia Unesco dalam usaha melindungi biodiversiti dan keistimewaan tapak-tapak itu yang punya nilai warisan dan sejarah.

"Kita ada 69 tapak warisan kebangsaan yang mana kita bekerjasama dengan kerajaan negeri untuk mengenal pasti kawasan atau tapak yang mempunyai nilai sejarah dan warisan supaya diwartakan sebagai special area plan (perancangan kawasan khas) agar tidak terdedah kepada mana-mana pembangunan," katanya ketika sesi soal jawab lisan pada Sidang Dewan Negara hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Senator Datuk Fahariyah Md Nordin yang ingin tahu usaha kerajaan melindungi bangunan dan tapak warisan di negara ini.

Muhammad Bakhtiar berkata, kementeriannya menerusi Jabatan Warisan Negara juga turut bekerjasama dengan agensi dan universiti yang menjalankan penyelidikan untuk mengenal pasti tapak yang boleh dijadikan tapak warisan kebangsaan sebelum diangkat dan diiktiraf sebagai Tapak Warisan Dunia Unesco.

Menjawab soalan asal Senator Datuk Ong Chong Swen mengenai jumlah bayaran sesuatu lokasi untuk diisytihar sebagai Tapak Warisan Dunia Unesco, beliau berkata, sekurang-kurangnya RM1.5 juta diperlukan meliputi kos pelantikan pakar, penyediaan dossier, penyediaan rancangan pengurusan dan perancangan kawasan khas, penyelidikan serta pengumpulan data kajian. - Bernama