Dalam kejadian kira-kira pukul 5 petang itu, rumah kayu berukuran hampir 640 meter persegi itu musnah 100 peratus.

Bagaimanapun, tindakan pantas salah seorang anak mangsa yang bertindak memecahkan cermin kereta Proton Persona dan mengalihkan dari kawasan rumah itu dapat menyelamatkan kereta tersebut daripada rentung.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Shah Alam, Azmel Kamaruddin berkata, sejurus menerima panggilan kecemasan 5.11 petang sebuah jentera bersama beberapa anggota dikejarkan ke lokasi kejadian.

"Setibanya di lokasi kejadian kira-kira 15 minit kemudian mendapati, api sedang marak di beberapa bahagian rumah terbabit. Anggota kita cuba memadamkan kebakaran tersebut menggunakan dua aliran air daripada paip jentera bomba.

"Api dapat dipadamkan sepenuhnya dalam tempoh kira-kira 20 minit. Tindakan pantas anggota kita juga berjaya mengelakkan kebakaran itu daripada merebak ke rumah bersebelahan yang hanya terletak kira-kira tiga meter," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Azmel berkata, kesemua penghuni rumah terbabit sempat menyelamatkan diri dan tiada sebarang kecederaan dilaporkan.

 Katanya, punca dan nilai kerugian masih dalam siasatan. - K! ONLINE