Dalam kejadian kira-kira pada pukul 2.15 pagi, kesemua mereka ditemui dalam keadaan separuh sedar dan mengalami sesak nafas selepas terhidu asap kebakaran tersebut. 

Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Pasir Puteh, Omar Mahmud berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada orang awam pada pukul 2.30 pagi sebelum sepasukan anggota bergegas ke tempat kejadian. 

“Tiba di lokasi kejadian, kami mendapati wanita warga emas itu telah berjaya dikeluarkan oleh jirannya manakala dua anak perempuan berusia 19 dan 16 tahun serta seorang anak lelaki berumur 12 tahun ditemui anggota di tingkat atas rumah. 

“Anggota dengan bantuan daripada Balai Bomba dan Penyelamat Ipoh melakukan pemadaman menggunakan air dari tangki jentera sehingga kebakaran berjaya dipadamkan sepenuhnya,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini sebentar tadi. 

Tambah Omar, warga emas dan anak perempuannya berusia 19 tahun berada dalam keadaan kritikal selepas terhidu banyak asap kebakaran.

“Kesemua mangsa dibawa ke Hospital Raja Perempuan Bainun di sini menaiki jentera Unit Anggota Penyelamat dan Paramedik serta ambulans hospital untuk mendapatkan rawatan lanjut. 

“Siasatan mendapati kebakaran bermula dari tingkat bawah rumah tersebut iaitu pada ruangan tempat sembahyang di tokong di ruang tamu rumah mereka,” katanya. 

Operasi tamat sepenuhnya pada pukul 4.51 pagi. - K! ONLINE