Dalam kejadian kira-kira pukul 7.30 pagi itu, suspek berusia 36 tahun yang juga adik kepada pemilik rumah sewa berkenaan bertindak membakar tayar di hadapan rumahnya sebelum api merebak ke rumah didiami empat sekeluarga terbabit yang berada bersebelahannya.

Difahamkan, suspek pernah ditangkap polis beberapa kali serta dimasukkan ke penjara kerana melakukan samun terhadap penduduk di kawasan terbabit.

Menurut mangsa, Mohd Danial Abdullah, 28, kejadian berkenaan berlaku sekelip mata dan dia hanya sempat menyelamatkan nyawa keluarganya sahaja kerana api sudah mula marak.

Katanya, ketika kejadian dia bersama isteri dan anak lelaki berusia lima bulan serta ibu mertua sedang berehat di rumah sebelum mendengar jeritan jiran supaya menyelamatkan diri. 

"Saya dengan tidak berbaju, terus mendukung anak dan membawa ahli keluarga lain lari keluar daripada rumah.

"Tiada satu pun barangan berharga dan wang berjaya diselamatkan dengan kami tinggal sehelai sepinggang," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian di sini hari ini.

Mengulas lanjut, dia berkata, ketika kebakaran itu berlaku, suspek lelaki berusia 36 tahun itu berlegar-legar di hadapan kediaman itu sambil menjerit-jerit.

"Aku dah bakar rumah..jadi apa yang kau tak puas hati dengan aku...suspek itu menjerit kepada kami serta jiran-jiran yang lain.

"Tidak lama lepas itu, suspek terus melarikan diri apabila terlihat beberapa anggota polis tiba dengan motosikal," kata pemandu lori itu.

Sementara itu, Ketua Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Zon Klang, Samsol Maarif Saibani ketika dihubungi berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan kira-kira pukul 7.50 pagi sebelum dua jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Raja dan BBP Sungai Pinang bergegas ke lokasi kejadian.

Jelas beliau, pihaknya percaya kebakaran disebabkan khianat oleh suspek yang mempunyai masalah mental atau kemurungan.

"Saya dimaklumkan bahawa rumah yang terbakar ini (empat buah rumah) adalah milik dua beradik, suspek dan abangnya. Mereka ini anak yatim piatu, suspek ini mempunyai masalah mental dan sering berhalusinasi.

"Daripada maklumat saya dapat, semalam suspek tinggal seorang di rumah abangnya tiada dirumah. Sebelum ini beberapa kali suspek bakar rumah didiami mereka tapi abang dia sempat padam," katanya. - K! ONLINE