Pengarahnya, Khalid Tik berkata kesemua premis itu dikenakan kompaun semasa operasi pemeriksaan tanda harga  dilakukan oleh 25 pegawai dan anggotanya di premis Medan Usahawan berdekatan Stadium Sultan Muhammad IV.

"Operasi itu dijalankan selepas pihak kami menerima aduan daripada pengguna berikutan harga yang dikenakan tidak sama dengan tanda harga dipamerkan di premis terbabit.

"Pada operasi itu sebanyak 12 premis perniagaan diperiksa dan hanya empat premis perniagaan melakukan kesalahan terbabit," katanya ditemui pemberita selepas melakukan operasi berkenaan di sini hari ini.

Khalid berkata, keempat-empat premis terbabit dikompaun berikutan melakukan kesalahan di bawah Perintah 3(1) Perintah Kawalan Harga (PHOPR) 1993 yang boleh didenda tidak melebihi RM100,000 bagi kesalahan pertama manakala bagi bukan pertubuhan perbadanan boleh didenda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjara tidak melebihi 2 tahun atau kedua-duanya bagi kesalahan pertama.

"Kita tidak mahu peniaga menggunakan tanda harga murah bagi menarik pelanggan berkunjung ke premis terbabit sedangkan harga sebenar dikenakan tidak seperti yang dipamerkan". katanya
Katanya sepanjang tahun ini sebanyak 2,441 premis diperiksa melibatkan tanda harga di seluruh negeri ini.

"Maklumat orang awam penting untuk pihaknya mengambil tindakan terhadap peniaga yang menggunakan  taktik tersebut bagi mengambil kesempatan untuk mendapat keuntungan.

Kita akan melakukan operasi berkala sepanjang tahun ini bagi mengenal pasti premis-premis perniagaan menggunakan 'taktik' perniagaan itu bagi menipu masyarakat khususnya masyarakat luar negeri ini," katanya. - Bernama