Dalam kejadian kira-kira pukul 10 malam itu salah seorang mangsa berusia 28 tahun patah kaki kiri manakala tiga lagi berusia lingkungan 28 hingga 31 tahun cedera ringan.

Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Mohamad Noor Yusof Ali berkata, difahamkan kejadian tersebut membabitkan 50 hingga 60 individu warga tempatan dipercayai bermotifkan membalas dendam atas satu insiden yang tular di media sosial.

"Sekumpulan lelaki berkenaan telah pergi ke pos pengawal itu dan menimbulkan kekecohan sehingga lapan pengawal di situ beredar dari situ kerana kumpulan berkenaan bertindak membaling objek, memecahkan cermin dan merosakkan pos pengawal berkenaan.

"Akibat rusuhan itu, empat pengawal keselamatan warganegara China cedera dan seorang daripadanya cedera parah dipukul dengan objek dipercayai besi. Mangsa yang patah kaki itu dirawat di sebuah hospital swasta di sini dan berada dalam keadaan stabil," katanya dalam sidang akhbar di Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) di sini hari ini.

Tambahnya, punca kejadian dikatakan ekoran maklumat tular di lamam media sosial pada 10 Julai lalu yang mendakwa seorang pemandu lori warganegara tempatan maut dipukul pengawal keselamatan di MCKIP.

"Kita sedang menjalankan siasatan dan mengambil keterangan daripada pengawal keselamatan terlibat dan pada masa sama cuba mengenal pasti individu yang menularkan status palsu berkenaan.

"Saya boleh sahkan bahawa maklumat ini tidak benar dan tidak ada kejadian sedemikian berlaku, ini merupakan perbuatan tidak bertanggungjawab," ujarnya.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan, Seksyen 148 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia. - K! ONLINE