Operasi yang bermula sekitar pukul 1.30 pagi itu diketuai Asisten Superintenden Ahmad Fuad Mahmod dari Unit Risikan Operasi Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur.

Ketua JSPT Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Zulkifli Yahya berkata, kesemua yang ditahan berusia di antara 16 hingga 30 tahun yang dikesan menunggang motosikal secara berbahaya dan didapati melakukan aksi ala 'Superman'.

"Daripada empat yang ditahan, tiga merupakan remaja lelaki berusia 16 hingga 17 tahun manakala seorang lagi merupakan seorang lelaki berusia 30 tahun yang telah berkahwin.

"Kesemua yang ditahan kemudiannya di bawa ke Balai Polis Trafik Kuala Lumpur bersama motosikal milik mereka untuk siasatan lanjut," katanya dalam satu kenyataan di sini.

Difahamkan, operasi yang dilakukan sehingga pukul 4.30 pagi itu menyasarkan golongan pelesit rempit yang didapati menunggang motosikal dalam keadaan berbahaya.

Tambah Zulkifli, selain memandu secara berbahaya dan tidak memiliki lesen memandu, anggota bertugas turut mengesan beberapa lagi kesalahan yang dilakukan oleh keempat-empat pelesit rempit tersebut.

"Antara kesalahan lain yang dikesan dalam operasi tersebut adalah melakukan pengubahsuaian sistem enjin jentera bagi menambah kelajuan, menggunakan nombor pendaftaran yang tidak mengikut spesifikasi serta pengubahsuaian pada ekzos serta tayar motosikal yang kecil.

“Keempat-empat mereka kini ditahan bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 kerana menunggang secara berbahaya ,” ujarnya. - K! ONLINE