Dalam kejadian kira-kira pukul 1.30 petang itu, dua murid perempuan berusia enam tahun luka pada dahi, manakala dua lagi murid perempuan berumur 9 tahun mengalami kecederaan di bahagian kaki.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Negeri Sembilan, Superintendan Ibrahim Mohd. Abdul Kadir berkata, kejadian itu melibatkan sebuah bas sekolah jenis Ford Spectron dipandu seorang lelaki berumur 23 tahun.

"Kemalangan berlaku semasa bas sekolah itu dalam perjalanan dari arah Seremban 2 menuju ke kawasan Taman Mantau Indah untuk menghantar pulang penumpang ke rumah masing-masing.

"Kenderaan itu hilang kawalan lalu terbabas ke kiri bahu jalan dan melanggar sebatang tiang lampu apabila tiba di tempat kejadian. Pemandu mengalami kecederaan ringan," katanya ketika dihubungi Kosmo! Online di sini hari ini.

Ibrahim berkata, spesimen darah pemandu bas sekolah itu telah diambil untuk dihantar ke Jabatan Kimia bagi tujuan analisis dadah dan alkohol.

Jelas beliau, siasatan lanjut sedang dilakukan dibawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. - K! ONLINE