Ketua Polis Daerah Langkawi, Superintendan Mohd. Iqbal Ibrahim berkata, empat suspek termasuk seorang warga Myanmar berusia antara 28 hingga 50 tahun itu ditahan di Pantai Chenang dan Kampung Tanjung Mali di sini kira-kira pukul 10 malam.

Kata beliau, kejadian berlaku apabila semua suspek didakwa pergi ke sebuah bilik sewa didiami seorang lelaki Rohingya bersama dua rakannya di Kampung Didik, Kuah di sini kira-kira pukul 1 petang pada hari yang sama.

"Dua suspek bertindak masuk ke dalam bilik sewa itu sambil memperkenalkan diri sebagai polis dan meminta wang daripada mangsa.

"Lelaki Rohingya terbabit bagaimanapun dipukul kerana dia tidak mempunyai wang sebelum suspek mengarahkan mangsa mencari wang dan menyerahkannya di sebuah restoran selepas solat Jumaat," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurut Mohd. Iqbal, suspek memeras ugut supaya mangsa menyerahkan wang jika dia mahu menjalankan perniagaan di kawasan tersebut.

"Susulan kejadian itu, mangsa bertindak membuat laporan polis di Balai Polis Kuah," ujarnya.

Ujar beliau, siasatan di tempat kejadian mendapati kawasan berkenaan tidak mempunyai televisyen litar tertutup dan mangsa tidak mengenali semua suspek terlibat.
"Hasil soal siasat awal yang dijalankan, semua suspek mengaku terlibat dalam kejadian itu," jelasnya.

Tambahnya, tiga daripada empat suspek memiliki rekod jenayah lampau membabitkan pelbagai kesalahan termasuk dadah dan ujian air kencing mendapati mereka negatif dadah.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 385 dan 170 Kanun Keseksaan," katanya. - K! ONLINE