Empat laluan itu melibatkan Jalan Mahkota, Jalan Bukit Ubi, Jalan Masjid dan Jalan Taman yang akan ditutup secara berperingkat bermula pukul 5 petang ini.

Selain itu, orang ramai yang ingin menyertai himpunan itu turut dinasihatkan meletak kenderaan mereka di sekitar Taman Esplanade dan Stadium Darul Makmur serta kawasan lain yang telah disediakan.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Mohd. Noor Yusuf Ali turut menasihati orang awam mematuhi arahan pihak berkuasa bagi memastikan tidak berlaku sebarang insiden buruk serta membahayakan khalayak.

"Semua laluan itu ditutup secara berperingkat bermula pukul 5 petang hingga 12 tengah malam. Para pemandu kenderaan dinasihatkan menggunakan laluan lain pada sepanjang program itu berlangsung," kata beliau.

Bermula pukul 7 malam ini, lebih 10,000 orang dijangka berkumpul di Padang Majlis Perbandaran Kuantan dekat Masjid Negeri Sultan Ahmad Shah di sini sempena program Himpunan Ummah.

Program tersebut akan turut dihadiri Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail bersama Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang. - K! ONLINE