Dalam kejadian kira-kira pukul 9.55 pagi itu, empat kenderaan tersebut terdiri daripada dua buah van jenis Nissan dan Toyota, sebuah kereta Proton Iswara dan Perodua Myvi.

Difahamkan bengkel tersebut beroperasi tanpa mendapat kelulusan daripada pihak berkuasa.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Shah Alam, Azmel Kamaruddin berkata, sejurus menerima panggilan kecemasan kira-kira pukul 9.59 pagi, sepasukan tujuh anggota bersama sebuah jentera bergegas ke lokasi kejadian.

"Setibanya di lokasi kejadian kira-kira 10 minit kemudian, anggota kita mendapati api sedang marak dengan memusnahkan beberapa buah kenderaan yang berada di dalam garaj berdekatan bengkel kereta tersebut.

"Anggota kita kemudiannya berjaya mengawal kebakaran. Kita mengambil masa kira-kira 20 minit untuk memadam dan mengawal kebakaran daripada merebak ke bahagian lain bengkel kereta tersebut," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Azmel berkata, kebakaran tersebut telah menyebabkan van Nissan musnah 100 peratus, van Toyota 50 peratus, Proton Iswara lebih 10 peratus dan Perodua Myvi milik seorang pelanggan terbakar kira-kira 20 peratus.

Beliau berkata, operasi pemadam tamat sepenuhnya kira-kira pukul 11.58 pagi, punca dan nilai kerugian masih dalam siasatan. - K! ONLINE