Beliau berkata satu kertas kerja berkaitan perkara itu telah dibentangkan pada mesyuarat Kabinet dan pihaknya masih menunggu keputusan daripada Kementerian Kewangan. 

Jelasnya, kemungkinan elaun kritikal itu diluluskan  adalah besar kerana ia tidak melibatkan implikasi kewangan tambahan bagi Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT). 

"Saya kira kebijaksanaan (KPKT) menguruskan kewangan membolehkan kita mampu memperuntukkan elaun untuk anggota bomba. Perkara ini masih di peringkat perbincangan dan akan dimuktamadkan pada hujung bulan ini," katanya selepas menerima anugerah kehormat Timbalan Kanan Pesuruhjaya Bomba daripada Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Mohammad Hamdan Wahid di sini, hari ini.

Elaun khas sebanyak RM200 itu disyorkan oleh bekas Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Tan Sri Noh Omar pada 21 Mac lepas bagi mengiktiraf usaha dan kerja pasukan bomba dan penyelamat menangani bencana yang meletakkan agensi itu setanding agensi penguatkuasaan lain. 

Sekiranya diluluskan, elaun itu akan memberi manfaat kepada 14,761 warga kerja JBPM melibatkan peruntukkan kira-kira RM35.4 juta setahun.

Dalam perkembangan lain,  Zuraida berkata laporan Dasar Komuniti Negara akan dibentangkan pada mesyuarat Kabinet untuk mendapatkan kelulusan bagi tindakan selanjutnya.

Jelasnya, kini KPKT di peringkat mengumpulkan data dan maklumat sebelum dibentangkan pada Ogos ini. - Bernama