Bulan ini jugalah peluang kesemua ahli keluarga berkumpul sekali gus merancang untuk menghabiskan waktu mengunjungi destinasi menarik.

Bagaimanapun, dalam keseronokan bercuti, aspek keselamatan perlu diberi perhatian. Bagi ibu bapa, jangan terlalu gembira kerana tidak perlu memikirkan beban kerja sehinggakan keselamatan ahli keluarga terabai.

Kalau lalai, kegembiraan itu boleh bertukar tragedi malang. Lebih menyedihkan, jika me­ragut nyawa ahli keluarga yang tersayang. Jika kita peka dan prihatin dalam setiap tindakan, penulis percaya kecelakaan dapat dielakkan.

Baru-baru ini, seorang kanak-kanak berusia tujuh tahun maut dipercayai lemas di kolam renang di sebuah hotel di Port Dickson, Negeri Sembilan.

Kejadian itu berlaku ketika ahli keluarga mangsa sedang menyambut hari keluarga. Mangsa disedari hilang kira-kira pukul 2.45 petang sebelum ditemui terapung di kolam hotel berkenaan. Kegembiraan yang dirancang bagi merai hari keluarga itu diselubungi suasana pilu.

Akhirnya, Mohammad Adam Raiyan Mohd. Saiful disahkan meninggal dunia oleh pihak perubatan pada pukul 4.16 petang. Mayat mangsa telah dituntut oleh ahli keluarganya untuk dikebumikan di Masjid Tanah, Melaka.

Peristiwa malang ini amat memilukan ibu bapa mangsa apabila hajat percutian mereka disambut dengan linangan air mata.

Tragedi sebegini sering kali berlaku terutama musim cuti sekolah. Ibu bapa seolah-olah tidak mengambil iktibar dengan kejadian sebelum ini.

Ketika penulis bercuti di sebuah hotel ming­gu lalu, sememangnya terdapat segelintir ibu bapa membiarkan anak mereka mandi di dalam kolam sendirian tanpa pengawasan orang dewasa.

Meskipun sudah mempercayai kebolehan anaknya untuk berenang tetapi perlu ada pe­ngawasan. Ini kerana anak-anak yang terlalu seronok akan lupa keselamatan mereka. Jadi itulah sebabnya pengawasan daripada ibu bapa atau orang dewasa amat diperlukan.

Boleh dikatakan kes mati lemas melibatkan kanak-kanak kerap kali dilaporkan media. Ada saja kes melibatkan kanak-kanak lemas sama ada di sungai, air terjun, kolam dan laut yang kurang pengawasan orang dewasa. Semoga kes-kes seperti ini menjadi ingatan kepada kita semua agar sentiasa waspada dan dijauhi kemalangan yang tidak diduga.

Tinggal beberapa hari lagi cuti sekolah, penulis percaya masih ada keluarga yang sedang bercuti. Penulis berharap ke mana pun destinasi yang dituju pastikan aspek keselamatan perlu diberi keutamaan.

Biarlah penutup tahun 2018 dihiasi kisah yang manis dan bukannya kisah pilu. Apa jua yang dilalui sepanjang tahun ini, kita perlu tabah dan cekal.

Penulis ucapkan Selamat Tahun Baru 2019. Semoga kita semua senantiasa dirahmati Allah.