Cawangan Komunikasi Korporat MADA dalam satu kenyataan berkata, pelepasan air dari empangan merupakan rutin biasa semasa musim penanaman padi.

"Bekalan air ini adalah bagi menampung keperluan tanaman padi di Dataran Muda serta bekalan domestik di negeri Kedah dan Perlis," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kata kenyataan itu, MADA telah memulakan pelepasan air secara berterusan selama 24 jam sehari bermula 6 Januari lalu untuk kegunaan tanaman padi musim 2/2018 berikutan ketiadaan turunan hujan lebat.

"Pelepasan air adalah pada kadar 28.31 meter padu sesaat hingga 42.48 meter padu sesaat mengikut keperluan harian," ujarnya.

Menurutnya, kadar pelepasan air dari empangan ditingkatkan kepada 56.63 meter padu sesaat pada 14 Januari lalu sebelum meningkat lagi kepada 70.79 meter padu sesaat pada 18 Januari lalu.

"Walaubagaimanapun, pelepasan telah dikurangkan kepada 42.48 meter padu sesaat pada 4 Februari lalu berikutan berlakunya pengurangan permintaan bekalan air bagi musim tersebut.

"Sebagai rekod, kapasiti penuh pelepasan air dari Empangan Pedu adalah 141.58 meter padu sesaat," jelasnya.

Kata kenyataan itu lagi, pelepasan air pada semalam dikurangkan kepada 36.81 meter padu sesaat mengikut keperluan semasa. 

"MADA telah memberhentikan pelepasan air pada pukul 3 petang semalam atas permintaan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia negeri Kedah bagi membantu usaha mencari mangsa lemas di Sungai Pedu," katanya.

Tambahnya, pelepasan air dari empangan telah disambung semula pada pukul 7 malam hari yang sama selepas operasi mencari mangsa lemas selesai.

Kosmo! hari ini melaporkan kegembiraan seorang datuk berkelah bersama dua cucu perempuannya di Sungai Pedu, Kampung Bukit Sena di sini berakhir duka apabila kesemua mereka ditemui mati lemas akibat dihanyutkan arus deras selepas pintu Empangan Pedu dibuka.

Dalam kejadian kira-kira pukul 1 petang itu, mangsa, Mohamad Ramli Ibrahim, 65, terjun ke dalam sungai bagi menyelamatkan dua cucunya Norshariza Hafiza Samsudin, 14, dan Nor Shafia Hafiza, 16, serta rakan cucu, Anis Umairah Mohd. Ismail, 16, yang lemas.

Cubaan Mohamad Ramli untuk menyelamatkan dua cucunya itu bagaimanapun gagal apabila ketiga-tiga mereka ditemui mati lemas.

Anis Umairah bagaimanapun berjaya diselamatkan penduduk kampung. - K! ONLINE