Lebih menyusahkan diri sendiri apabila janji tersebut dibuat ketika sedang dilanda musibah.

Pada ketika itu, apa sahaja boleh dijanjikan termasuk bulan dan bintang asalkan masalah yang dihadapi boleh diselesaikan.

Cuba tarik nafas dan fikir sejenak, kemudian hitung serta 
ingatkan kembali janji-janji manis yang pernah kita buat, dulu dan kini.

Saat bercinta dan berkahwin, ketika Tuhan makbulkan hajat kita dan semasa temu duga kerja.

Sebenarnya tidak terkira janji yang pernah kita buat sama ada secara sedar atau tidak. Hanya orang itu yang lebih tahu tentang janji yang pernah dibuatnya.

Cuba kita kira berapa banyak pula janji yang telah ditunaikan dan dijadikan satu realiti. Berapa banyak pula yang telah dimungkiri dan dilupakan begitu sahaja.

Oleh sebab itu, penting untuk seseorang berfikir semasak-masaknya sebelum mengeluarkan sebarang janji yang akan mengikat diri sendiri di kemudian hari.

Menandatangani borang aku janji atau dokumen misalnya, tidak boleh dibuat sebarangan. Insan itu perlu faham kesan baik buruknya sesuatu perjanjian itu sebelum dan selepas ditandatangani.

Di Malaysia, purata orang tidak baca butiran perjanjian serta lebih teruk lagi tidak faham sejelas-jelasnya kandungan dokumen yang ditandatanganinya.

Mereka main tandatangan sahaja dan apa yang penting masalah dihadapinya selesai.

Akhirnya yang susah nanti ialah diri sendiri dan mungkin juga keluarga, syarikat tempat dia bekerja serta tanah air tercinta.

Sebelum berkahwin kita berjanji itu dan ini, bagaimanapun selepas beberapa tahun mendirikan rumah tangga, janji hanya tinggal janji.

Di tempat kerja juga begitu, Semasa ditemu duga, apa sahaja tugas sanggup dilakukan selain sedia berkhidmat di mana sahaja tempat di planet ini.

Namakan sahaja lokasi itu kita sanggup ke sana. Bagaimanapun, selepas beberapa tahun bekerja, apa yang diharapkan oleh syarikat berkenaan tidak dapat dipenuhi.

Syarikat mungkin tersilap pilih orang atau si penemu duga tidak cekap menilai orang. Syarikat pun begitu juga. Janji itu dan ini, tapi hasilnya amat mengecewakan pekerja bila kejayaan yang diharapkan tidak kunjung tiba.

Negara pun sama. Rakyat mengharapkan sesuatu yang positif daripada wakil rakyat yang mereka pilih.

Penduduk kampung mahu masalah mereka diberikan perhatian dan layanan segera.

Sekurang-kurangnya YB tunjukkan rasa prihatin dengan masalah rakyat. Apa yang terjadi kadang-kadang, tidak sampai beberapa bulan dipilih wajah YB kesayangan pun hilang entah ke mana.

Majlis kahwin, semasa kematian, ketika sakit dan bencana, di masa inilah wakil rakyat perlu tunjukkan muka. YB kena bijak main perasaan rakyat.

Manusia bila ditimpa bencana atau bala, mereka berdoa kepada Yang Maha Kuasa. Ketika itu mereka berjanji macam-macam.

Hanya diri mereka sendiri yang tahu apa yang dijanjikannya itu. Peliknya bila berjaya keluar daripada musibah itu, segala janji yang dibuat itu dilupakan begitu sahaja.

Apa yang sepatutnya dilakukan ialah berusaha bersungguh-suingguh untuk menunaikan janji itu.

Dalam hati kita, memang ada niat dan hasrat untuk mengotakannya.

Kalau tak boleh kota, jangan buat janji yang gila-gila, ini kerana ia akan mencerminkan wajah kita yang sebenarnya.