Menteri berkenaan, A. Xavier Jayakumar berkata, ini termasuk risiko bangunan berkenaan dihanyut arus deras apabila air daripada empangan misalnya terpaksa dilepaskan.

"Kalau boleh saya nak katakan jangan bina di tepi sungai sebab kita ada pengalaman bila hujan lebat dan juga air di kawasan empangan semua penuh, kita kena buka (lepaskan) air itu untuk keluar. Bila ada rumah dibina di tepi sungai, pada masa itu masalah besar dan disaster akan kita hadapi," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini. 

Bagaimanapun, beliau berkata jika rumah dan bangunan terpaksa juga dibina di tepi sungai, pihaknya mahu supaya syarat pembinaan seperti jarak tertentu dari sungai selain penilaian ketat oleh agensi berkaitan dipenuhi sebelum sebarang kelulusan diberikan.

Beliau mengulas laporan media hari ini berhubung saranan Jabatan Alam Sekitar supaya kerajaan mewajibkan semua pembinaan bangunan atau perumahan baharu menghadap kawasan sungai dalam usaha memastikan sumber air itu dan persekitarannya bersih tanpa pencemaran. - Bernama