Dalam dongeng Melayu, si Tanggang disumpah menjadi batu oleh ibunya selepas dia melupakan ibu bapanya yang sudah tua setelah menjadi kaya dan berkahwin dengan puteri raja.

Tidak kisahlah jika kisah Tanggang itu benar atau dongeng, tetapi moral ceritanya memang mempunyai hikmah. Pada zaman serba canggih dan moden ini, lebih ramai Tanggang yang lahir.

Bezanya, Tanggang moden tidak bertukar menjadi batu sebaliknya hati dan kepala mereka menjadi seketul bongkah yang beku serta keras hingga gagal untuk mengenali ibu bapa kandung sendiri.

Terbaharu pada Isnin lalu, seorang bapa berusia 82 tahun dari Melaka mendakwa tidak dipedulikan tujuh anaknya selepas kesemua harta miliknya termasuk tiga buah stesen minyak dan empat hektar tanah bernilai kira-kira RM4 juta ‘dihadiahkan’ kepada mereka.

Pada September lalu, video seorang remaja berusia 15 tahun tergamak memukul ibu kandungnya sendiri hanya kerana tidak diberi wang belanja sekolah turut tular di laman sosial sehingga menerima kecaman daripada netizen.

Malah kita juga sering terbaca berita me­ngenai anak dijatuhi hukuman penjara oleh mahkamah atas kesalahan mengugut atau mencederakan ibu bapa mereka sendiri, kebanyakannya kerana tidak diberi wang.

Kisah warga emas ditinggalkan di pusat-pusat penjagaan oleh anak-anak mereka sendiri juga bukan perkara baharu, namun sehingga kini ia masih berterusan berlaku walaupun pelbagai usaha telah dilakukan untuk menepis gejala kurang sihat itu.

Ibu bapa sebenarnya mempunyai peranan penting dalam mencegah anak-anak mereka menjadi Tanggang. Cara ibu bapa mendidik anak-anak menjadi salah satu sebab kenapa zuriat mereka sanggup membuang mereka seperti mana kisah si Tanggang.

Tidak ada ibu bapa di dunia ini mahu anak mereka menjadi Tanggang. Kebanyakan ibu bapa hari ini mahukan anak-anak mereka menjadi yang terbaik atau lebih hebat daripada mereka sehingga memberikan kasih sayang melimpah ruah.

Namun begitu, ramai ibu bapa melakukan kesilapan dengan terlampau memanjakan anak mereka. Apabila besar, anak itu tidak dapat menilai perkara yang dikorbankan oleh ibu bapa dan berasa mereka berhak terhadap apa yang diberikan.

Apabila usia ibu bapa mula meniti senja, mereka dilupakan begitu sahaja kerana anak-anak berasa bukan tanggungjawab mereka untuk menjaga keperluan fizikal dan emosi ibu bapa.

Ibu bapa juga perlu memberikan didikan sewajarnya kepada anak-anak terutamanya didikan agama agar mereka dibesarkan de­ngan akhlak dan moral yang tinggi.

Ajarkan mereka ilmu agama, insya-Allah anak-anak akan menjadi manusia berguna pada suatu hari kelak.